Wahai BANGSAKU, bangsa MELAYU bilakah kita hendak bersatu
Sudah lama kita merdeka belum lagi berlaku perpaduan Melayu
Kata-mengata di antara parti Melayu dengan parti Melayu begitu maju
Tuduh-menuduh, fitnah-menfitnah, hina-menghina sering berlaku
Rupanya atas nama bangsa jangan mimpilah hendak bersatu
Kerana bersatu dan berpadu itu ada anak kuncinya
Bangsa bukan anak kunci perpaduan, sekalipun orang Melayu
Wahai bangsaku bangsa Melayu!
Atas nama bangsa rupanya kita tidak boleh bersatu, janganlah menipu diri,
kita BELUM BERSATU
Tapi kita ada AGAMA, agama kita satu iaitu agama ISLAM dari Tuhan yang satu
Islam boleh mempersatukan kita jika Tuhan sama-sama kita takuti dan cintai
Jika Tuhan tempat rujuk kita, orang Melayu boleh bersatu-padu
Malangnya kita hampir-hampir sudah meninggalkan agama
Agama kita ambil hanya sekerat-sekerat sahaja
Kita ambil agama di sekitar ibadahnya semata-mata
Satu aspek daripada ajaran Tuhan kita
Itu pun Tuhan sudah tidak diambil kira
Ibadah pun bukan kerana keredhaan dan kecintaan kepada Tuhan
Ibadah hanya hendak cari pahala dan takutkan Neraka
Ibadah bukan hendak mencari Tuhan, tapi hendak mencari fadhilat
Maka konsep ibadah pun sudah dipesongkan oleh umat dan bangsa Melayu
Ibadah yang sudah kehilangan Tuhan tidak boleh mempersatukan kita orang Melayu
Anak kunci kasih sayang dan perpaduan adalah Tuhan
Jika Tuhan ditakuti dan dicintai itulah dia rahsia anak kunci perpaduan Melayu
Selama ini kita orang Melayu tercari-cari anak kunci perpaduan
Anak kuncinya adalah Tuhan, janganlah cari selain Tuhan akan menambah perpecahan Mari kita promosi semula Tuhan
Hingga Tuhan ditakuti dan dicintai
Tuhan adalah anak kunci kasih sayang dan perpaduan
Tidak ada anak kunci kasih sayang dan perpaduan selain Tuhan
No comments:
Post a Comment
Comment here...