Sunday, August 23, 2009

Mujahadah Nafsu Di Bulan Ramadhan


Di Bulan Yang mulia ini adlah bulan yang paling sesuai untuk kita mujahadah atau melatih nafsu kita untuk melakukan perkara-perkara mahmudah dan meninggalkan perkara-perkara mazmumah.Walaupun syaitan di belenggu di bulan yang mulia ini,tetapi makhluk bernama nafsu ini masih lagi berlegar legar di dalam diri manusia. Itulah sebab banyak manusia bingung mengapa di bulan Ramadhan ini yang dikatakan syaitan telah di belenggu,tetapi masih lagi berlaku perkara perkara yang bertentangan dengan Islam.Ada lagi manusia yangg maelakukan dosa. Ini sebabnya ada nafsu yang berperanan untuk menghasut manusia untuk melakukan mungkar.

Nafsu yang ada dalam diri kita itulah yang lebih jahat dari syaitan. Syaitan tidak boleh mempengaruhi seseorang itu kalau dia tidak dapat meniti di atas nafsu.Dengan kata lain, nafsu adalah highway bagi syaitan. Kalaulah nafsu dapat diperangi, maka tertutuplah jalan syaitan dan dia tidak boleh mempengaruhi jiwa kita. Sedangkan nafsu ini sebagaimana yang digambarkan oleh Allah, ia sangat jahat.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya hawa nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Yusuf: 53)

Dalam ayat yang pendek ini, Tuhan memberitahu manusia bahawa musuh manusia yang paling ketat adalah nafsunya yang ada dalam tubuhnya sendiri. Ini dikuatkan lagi oleh sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Musuh yang paling memusuhi kamu adalah
nafsu yang ada di antara dua lambungmu.”

Nafsu inilah yang menjadi penghalang utama dan pertama dalam hendak mengamal dan melaksanakan Islam. Kemudian barulah syaitan, dunia dan perkara-perkara yang lain. Memerangi hawa nafsu lebih hebat daripada memerangi Yahudi dan Nasrani atau orang kafir. Sebab berperang dengan orang kafir cuma sekali-sekala. Memerangi nafsu tidak ada hentinya dan tidak ada penghujungnya. Nafsulah penghalang yang paling jahat. Kenapa? Kalaulah musuh dalam selimut, itu pun mudah dan boleh kita hadapi. Tetapi nafsu adalah sebahagian dari juzuk tubuh badan kita sendiri. Tidak sempurna diri kita kalau tidak ada nafsu.

Ia bukannya musuh dalam selimut tetapi musuh dalam diri. Sebahagian diri kita memusuhi kita. Ia adalah jismul latif iaitu tubuh yang halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kepala.

Ia hanya boleh dikesan oleh mata otak atau dirasa oleh mata hati. Oleh itu mana boleh kita buang. Sekiranya dibuang, kita pun pasti mati. Sebab nafsu itu perlu untuk kita hidup. Nafsulah penghalang yang besar. Kalau hendak sembahyang, bukannya senang hendak mujahadah. Hendak sembahyang Subuh contohnya, kita kata tunggulah dulu. Bangun sepuluh minit lagi.

Akhirnya terlajak sembahyang Subuh. Pukul 8.00 pagi baru terjaga. Siapa yang membisikkan kepada kita itu? Itulah nafsu. Bukan senang hendak berjuang dan berkorban. Nafsu akan berbisik, “Fikirkanlah masa depan kamu. Korban sikit-sikit
cukuplah.”

Bukannya mudah hendak sabar apabila berhadapan dengan ujian. Bukan mudah sebab nafsu tidak mahu. Begitu juga hendak memberi maaf kepada orang yang buat salah dengan
kita. Kita rasa terhina hendak memaafkan orang yang bersalah dengan kita terutama kalau kita ada jawatan dan pengaruh.

Lebih-lebih lagi kalau kita yang bersalah, hendak minta maaf lagilah payah. Terasa tercabar ego kita. Bukan senang hendak mujahadah bila nafsu kata jangan. Hendak ikut syariat bukannya senang. Sebab itu barangsiapa yang berjaya melawan hawa nafsunya, dia dianggap wira. Dianggap orang berani dan luar biasa. Ada Hadis mengatakan:

Maksudnya: “Tidak dianggap seseorang itu berani bila dia dapat mengalahkan musuhnya tetapi dianggap berani jika seseorang itu dapat melawan hawa nafsunya.”

Tetapi selalunya bila seseorang itu dapat mengalahkan nafsunya, hingga menjadi orang yang baik dan soleh, manusia menganggap dia orang yang paling jahat di dunia. Orang tidak kata dia wira atau orang berani. Tetapi orang yang sudah dikalahkan oleh hawa nafsunya dan hidupnya sudah lintangpukang, orang kata mereka inilah wira! Bush dianggap wira oleh orang Amerika. Saddam juga dianggap wira oleh orang Iraq. Tidak kiralah apa gelaran sama ada ‘tokoh’ atau ‘jaguh’ yang dikurniakan kepada seseorang itu, bila kita tinjau kehidupan dan peribadi mereka, kebanyakan mereka adalah orang yang sudah kalah dan sudah ditumpaskan oleh hawa nafsu mereka.

Jadi dalam dunia hari ini, siapa yang dikalahkan oleh hawa nafsunya dianggap tokoh, jaguh dan wira.

Itulah wira yang palsu. Wira yang sebenar-benar wira ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya. Inilah yang dikatakan pejuang yang hakiki. Selagi hawa nafsu tidak dapat diperangi, selama itulah seseorang itu tidak akan tertuju kepada Allah. Tidak akan dapat benar-benar berkhidmat kepada Allah. Tidak akan jatuh cinta dengan Allah. Tidak akan dapat memberi ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Allah. Kalau nafsu tidak diperangi, seseorang itu tidak akan dapat hidup dalam
kebenaran dan tidak akan dapat hidup dalam pimpinan Allah.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu kerana hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya
Allah itu berserta dengan orang yang berbuat baik.” (Al Ankabut: 69)


Ini jaminan dari Allah. Siapa sanggup melawan hawa nafsunya, Allah akan tunjukkan jalan hingga diberi kemenangan, diberi bantuan dan tertuju ke jalan yang sebenar. Inilah rahsia untuk mendapat pembelaan dari Allah. Ertinya, mereka mendapat
pembelaan dari Allah di dunia lagi. Jadi sesiapa yang sanggup melawan hawa nafsunya, dia adalah rijalullah (orang Allah, keluarga Allah, kepunyaan Allah dan tentera Allah). Siapa yang menjadi ‘kepunyaan’ Allah atau tentera Allah, dia akan
dibantu Allah.

Tetapi selagi belum menjadi tentera Allah, sebaliknya menjadi tentera manusia atau tentera syaitan, Allah akan biarkan.

Kalau diberi kemenangan pun, atas dasar dia kuat, bukan atas dasar dapat bantuan dari Allah. Dia dibantu atas dasar istidraj, bukan atas dasar rahmat. Jadi seseorang itu mesti sanggup melawan hawa nafsunya. Kalau tidak, banyaklah ajaran Islam yang akan terabai. Banyaklah perintah Allah yang dicuaikan. Bila tidak dapat lawan hawa nafsu, banyak pula larangan Allah yang dibuat. Kalau terbuat boleh tahan, tetapi ini sengaja dibuat. Ini lebih berat.

Jadi hanya dengan melakukan mujahadatunnafsi (mujahadah melawan hawa nafsu), barulah ajaran Islam itu boleh kita amalkan sunguh-sungguh kerana nafsu yang sangat menghalang itu sudah tidak ada lagi. Barulah maksiat lahir dan batin dapat kita tinggalkan dan hindarkan kerana nafsu yang sangat menyuruh kepada kejahatan itu sudah tidak ada lagi. Nafsu itu sudah kita didik, sudah kita kalahkan, sudah kita jinakkan dan sudah menjadi tawanan kita.


MAWADDAH
Mujahadah

aduh sakitnya mujahadah
ia meletihkan, menyusahkan, dan menjemukan
Tuhan kernaMu ku lakukan juga
walaupun payah ku terus lakukannya

dalam susah kuteruskan juga
dalam jemu kupaksa juga diriku
ku cuba melawan perasaan itu
ku yakin dengan rahmatMu
Engkau kan bantu

Engkau sebenarnya mahu melihatku
bersungguh mujahadah ataupun tidak
Engkau sebenarnya hendak meguji diri ini
setelah bersungguh tanpa jemu
Kau kan bantu

setelahku bersungguh bermujahadah
aku yakin Kau kan tunjukkan jalan
jalanMu yang lurus
jalan kebenaran
bantulahku bermujahadah
oh Tuhan

bahkan aku percaya bermujahadah keranaMu
supaya Engkau bentang jalan kebenaran
agar aku menempuhnya
ke jalan keselamatan2x

No comments:

Post a Comment

Comment here...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails