Thursday, November 19, 2009

Mari Mencintai Rasulullah...






DALAM merayakan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan suatu detik yang bersejarah dalam peradaban umat manusia, para fukaha ahli sunnah mengkategorikan tradisi perayaan Maulidur Rasul ini sebagai bidaah hasanah. Demikian juga praktik perayaan Maulidur Rasul di negara kita telah menjadi tradisi yang mengakar dan dihormati serta mendapat dukungan daripada para ulama dan cendekiawan Muslim setempat.
Demikian juga perayaan Maulidur Rasul di negara Islam lain tidak kurang hebatnya. Di Mesir, utara Iraq, Turki, Afrika Utara, China, Iran, dan Maghribi perayaan Maulidur Rasul disambut dengan meriah dan diisi dengan khutbah dan pembacaan syair-syair tentang kemuliaan Rasulullah. Perayaan ini disambut bagi mengingatkan peri pentingnya menjaga semangat keislaman dan kecintaan pada Nabi agar dapat terpelihara dan kukuh dalam sanubari umat Islam di bawah tekanan modenisasi dan propaganda sekularisme.
Penulis teringat kisah pada akhir tahun 1920-an, tuan guru Haji Abdul Rahman Selehor (datuk penulis), iaitu tokoh ulama dari Tumpat Kelantan, pernah dikritik hebat oleh akhbar-akhbar perdana pada waktu itu kerana mempelopori perayaan Maulidur Rasul secara besar-besaran. Hal demikian itu, kerana bagi sesetengah pihak perbuatan ini satu bidaah dan sesat. Kononnya, ia dianggap satu perkara yang tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Sebenarnya perayaan Maulidur Rasul adalah hal yang amat digalakkan sebagai wadah bagi melahirkan kecintaan kepada baginda Nabi Muhammad. Mengapa kita wajib mencintai Rasulullah? Kerana baginda sememangnya wajar untuk dicintai. Hal ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam firmannya yang bermaksud:
Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, syuhada dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itu teman yang sebaik-baiknya – (surah an-Nisa’: ayat 69).
Kita tidak mempertuhankan baginda. Kita hanya mengatakan bahawa baginda seorang hamba Allah dan Rasul-Nya. Kewajipan umat baginda hanyalah mengarahkan perhatian kepada baginda dan mengikutinya dengan sebaik-baiknya. Nabi Muhammad adalah seorang pemimpin dan kepimpinannya itu hanyalah bagi orang yang menginginkannya. Baginda adalah pemimpin bagi orang-orang yang taat, benar dan ikhlas serta pemimpin bagi para wali (kekasih) Allah.
Baginda pernah bersabda yang bermaksud: Janganlah kamu seperti orang-orang Nasrani yang menganggap nabi mereka, Nabi Isa putera Mariam sebagai Tuhan atau anak Tuhan. Sesungguhnya aku hanyalah hamba Allah dan Rasul-Nya.
Justeru, mencintai Rasulullah menjadi
suatu keharusan dalam konteks iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim perlu menyimpan rasa cinta kepada Nabinya, seberapa kecil sekalipun. Idealnya, mencintai Rasulullah lebih daripada segala sesuatu yang dia miliki, bahkan dirinya sekalipun. Dan itulah pada hakikatnya iman yang paling sempurna. Sabda Nabi yang bermaksud: Tidak beriman seseorang sehingga aku (Nabi) lebih dia cintai daripada dirinya sendiri.
Meskipun begitu, terdapat juga beberapa mazhab yang menentang adanya perayaan serupa itu. Salah satu mazhab yang menentang perayaan Maulidur Rasul itu adalah kaum Kharaji di Oman. Namun para fukaha besar seperti Ibnu Hajar, al-Nawawi, al-Syaukani serta para ulama ortodoks lainnya dalam karya-karya mereka menegaskan bahawa perlunya perayaan Maulidur Rasul disambut oleh setiap orang Muslim.
Kaum ulama mazhab Sunni (kaum salafi) keturunan mazhab Hambali sentiasa berada pada barisan depan dalam mempromosikan perayaan-perayaan Islam di pelbagai tempat. Contohnya, Ibnu Taimiyah, seorang ulama Syria abad pertengahan, memberi pandangan: “Merayakan dan memberi rasa hormat kepada kelahiran Rasulullah dan memandangnya saat yang bersejarah sebagaimana yang dilakukan saudara Muslim kita adalah suatu perbuatan positif. Di dalam perbuatan itu terkandung ganjaran yang besar di sisi Allah kerana niat tulus dan ikhlas mereka menghormati Nabi Muhammad.”
Dalam tradisi kaum salaf, para salaf al-shalih ini telah menghasilkan karya-karya apresiatif atau berbentuk penghargaan terhadap perayaan Maulidur Rasul yang secara khusus dibicara di hadapan umat Islam pada setiap kali perayaan itu. Salah satu di antaranya ialah karya Ibnu Katsir berjudul Maulidur yang dianggap terbaik di antara karya-karya kaum salaf itu. Karya Ibnu Katsir itu terkenal di kalangan kaum Muslimin di seluruh dunia. Mufasir besar ini memulakan maulidnya dengan mengatakan: “malam kelahiran Nabi agung itu adalah suatu malam yang penuh berkat, penuh kesakralan, kemuliaan, keagungan. Dan malam itu juga merupakan malam yang sinar cahaya dan malam yang tidak ternilai harganya bagi para pengikut setia Muhammad.”
Imam al-Bukhari menyebutkan, daripada Ka’ab bin ‘Ajrah yang berkata bahawa Nabi ditanya: “Ya Rasulullah, salam kepada tuan telah kami ketahui, namun bagaimana dengan selawat?” Rasulullah menjawab, “Katakanlah oleh kamu, ‘Allahumma shalli ‘ala Muhammad wa’ali Muhammad.”
Abu Sa’id al-Khudri berkata, “Ya Rasulullah, ini adalah salam, namun bagaimana kami mengucapkan selawat kepada tuan?” Rasulullah menjawab, “Katakanlah oleh kamu ‘Allahumma shalli ‘ala Muhammad wa‘ali Muhammad.”
Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kepadanya, dan berilah salam dengan bersungguh-sungguh – (surah al-Ahzab: 56).








Imam al-Bukhari menyatakan di dalam sahihnya pada bahagian al-Tafsir, bahawa menurut Abu al-‘Aliyah, maksud selawat daripada Allah itu adalah sanjungan Allah terhadap Nabi Muhammad di hadapan para malaikat-Nya. Sedangkan selawat malaikat itu adalah doa.
Dalam komentarnya terhadap tafsir Jalalayn tentang surah al-Ahzab ayat 56 (Allah telah melimpahkan kasih sayang dan meredai nabi-Nya. Para malaikat memanjatkan doa untuknya, maka wahai orang-orang yang beriman, panjatkanlah selawat dan salam kepada Nabi Muhammad). al-‘Arif al-Shawi menyatakan bahawa di dalam ayat tersebut tersirat satu dalil yang amat besar bahawa Rasulullah adalah tempat curahan rahmat dan makhluk yang paling utama secara mutlak. Qadi ‘Iyadh berkata, “Seluruh ulama telah sepakat, bahawa ayat ini menunjukkan pengagungan dan pujian terhadap Nabi yang tidak terdapat pada orang lain selain beliau.”
Banyak riwayat hadis menyebutkan bahawa seluruh makhluk mengucapkan selawat kepada Nabi Muhammad dan keluarga baginda. Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad berhenti di Baitulmaqdis melakukan solat dan berjemaah dengan semua nabi dan rasul. Nabi sebagai imam. Pertemuan tersebut diawali dan diakhiri dengan menyampaikan selawat kepada baginda sebagai tanda penghormatan tertinggi yang diberikan Allah kepada Nabi Muhammad.
Ketika Allah mewajibkan umat manusia untuk mencintai Nabi Muhammad , arahan tersebut jelas bukan satu perintah tanpa tujuan. Namun begitu, tujuan tersebut juga bukan sesuatu yang kepentingannya akan kembali kepada Allah atau Rasul-Nya. Dengan demikian, mencintai Rasulullah adalah satu perintah yang manfaatnya semata-mata untuk kepentingan manusia itu sendiri. Di antara manfaatnya, kita merasakan akan terpaut hati ini kepada peribadi Nabi Muhammad. Apabila kita jujur dalam mencintai Nabi Muhammad, maka akan terbit kerinduan terhadap baginda.
Hal demikian ini, akan membawa kita untuk mengetahui secara mendalam tentang diri baginda yang mencakupi aspek kehidupan peribadi, keluarga, hubungan sesama Muslim dan sebagainya. Justeru itu, apabila kita ingin mengetahui sejarah Nabi Muhammad, hendaklah ia diawali dengan rasa cinta terlebih dahulu. Di sinilah, kita akan mengetahui mengapa Allah mewajibkan mencintai Nabi Muhammad.
Kita memohon kepada Allah agar mengukuhkan keberadaan dan perjalanan hidup kita di jalan Rasulullah, menjadikan kita sebagai pengikut setia baginda, memberi kita kesempatan untuk meneguk air telaga kasihnya dan menghimpunkan kita di bawah panji kemuliaannya.
Justeru, perayaan Maulidur Rasul yang disambut saban tahun adalah di antara tanda kasih sayang dan rasa terima kasih kita terhadap Rasulullah. Selawat dan salam untuk baginda yang menyuluh jalan kita dengan syafaatnya.




No comments:

Post a Comment

Comment here...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails