Thursday, February 17, 2011

Terkini dari Pilihan Raya Kampus 2011


UPM

Pencalonan enam calon kumpulan pelajar Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Putra Malaysia (UPM) ditolak hari ini atas alasan borang pencalonan mereka tidak lengkap. Mereka adalah antara 41 calon pro-M yang mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kampus yang dijadualkan Isnin depan.


Sebanyak 43 kerusi dipertanding tahun ini, iaitu tujuh kerusi umum, 32 kerusi fakulti dan empat kerusi siswazah.


Enam pelajar terbabit mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding di dua kerusi umum dan empat kerusi fakulti. Sehubungan itu, pengerusi pro-M UPM, Syed Syafiq Syed Hashim berkata, pihaknya telah mengemukakan bantahan secara lisan kepada ketua jawatankuasa pemilihan, Muhazam Mansor.Sehingga jam 3 petang ini, mereka masih menunggu keputusan bantahan mereka itu.



Menurutnya, pencalonan mereka ditolak kerana didakwa tidak mengisi borang pencalonan dengan lengkap seperti butiran alamat dan juga tidak ada cop pengesahan daripada dekan fakulti.



Keputusan ini dijadual dimaklumkan kepada pihak berkenaan pada jam 10 malam ini melalui panggilan telefon.


UKM

Berbeza dengan tempat lain, kumpulan pelajar Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendahului lawannya apabila menang tanpa bertanding di tiga daripada 37 kerusi dalam pilihan raya kampus.

NONE
Mereka memenangi dua kerusi siswazah dan satu kerusi Fakulti Pengajian Islam selepas proses penamaan calon yang hari ini selepas pasukan lawan Pro-Aspirasi (pro-A) tidak menghantar calon di kerusi berkenaan. Bagaimanapun, pro-A menang satu kerusi tanpa bertanding di fakulti pergigian.


Menurut jurucakap pro-M, Ahmad Firdaus Ahmad Azam keputusan itu diumumkan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Prof Ir Othman Karim di pusat kegiatan pelajar Pusaneka kira-kira jam 1 petang tadi.


Kumpulan pro-M meletakkan 36 calon yang merangkumi 12 kerusi umum, 21 fakulti dan tiga kerusi siswazah. Mereka tidak bertanding satu kerusi di Fakulti Pergigian kerana tidak mempunyai calon.


Tahun lalu, kumpulan yang sering dilabel kritikal pada pentadbiran kampus itu mendapat 15 daripada 35 kerusi yang berbanding pro-Aspirasi yang memenangi 19 kerusi. Calon bebas mendapat 1 kerusi. 



Sebelum ini, pro-M dilapor yakin bahawa mereka akan memenangi 21 daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kampus yang akan berlangsung pada 21 Februari ini.



Ahli majlis Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia GMUKM berkata Mohd Hilman Idham berkata, ini kerana kedudukan semasa di kampus berkenaan kini memihak kepada mereka. Selain UKM, empat lagi universiti mengadakan penamaan calon untuk pilihan raya kampus masing-masing. 



Universiti itu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).


USM DAN UPM

Kumpulan Pro-Aspirasi (pro-A) menang 12 kerusi tanpa bertanding selepas tamat proses penamaan calon bagi pilihan raya kampus Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.


Daripada jumlah tersebut, pro-A menang lima kerusi fakulti di kampus induk di Pulau Pinang, iaitu masing-masng satu di fakulti seni, bahasa dan terjemahan, komunikasi, farmasi dan sains komputer. Manakala tujuh kerusi lagi dimenangi pro-A di kampus cawangan Nibong Tebal.


Keputusan tersebut diumumkan oleh timbalan naib canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Omar Osman petang tadi di pusat cahaya, yang menjadi pusat aktiviti mahasiwa di USM.



Sementara itu, kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) pula tidak menang sebarang kerusi tanpa bertanding. Pilihan raya kampus USM menawarkan 39 kerusi untuk dipertandingkan di kampus induk (26) dan kampus cawangan di Kubang Kerian (6) dan Nibong Tebal (7).


Jurucakap pro-M, Mohd Hanif Alias, ketika dihubungi, berkata pihaknya tidak meletak calon di 12 kerusi yang dimenangi tanpa bertanding oleh pro-A. Katanya, pro-M memperuntukkan lima kerusi di kampus induk untuk calon Cina tetapi pihaknya tidak mempunyai calon untuk bertanding. Mohd Hanif berkata, pihaknya tidak meletakkan calon bagi tujuh kerusi di kampus cawangan Nibong Tebal kerana masalah 'teknikal'.


Beliau bagaimanapun, enggan menyatakan bentuk masalah 'teknikal' yang dihadapi pihaknya. Sementara itu, di Universiti Putra Malaysia (UPM), kumpulan itu turut menang tanpa bertanding di 5 daripada 43 kerusi yang dipertandingkan.


Keputusan itu diperoleh apabila tiada calon daripada pasukan lawan mereka menghantar calon. Lima kerusi itu adalah Fakulti Teknologi Maklumat (2 kerusi), Fakulti Sains Komputer (2) dan Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan (2 kerusi).


UM

Universiti Malaya (UM) akhirnya membenarkan dua daripada empat mahasiswanya bertanding dalam pilihan raya kampus universiti itu pada 21 Februari ini setelah menimbangkan bantahan mereka sebelum ini.

NONE
Pengerusi Pro-Mahasiswa (pro-M) universiti itu Farid Jalpah berkata, kedua-dua mahasiswa daripada kumpulannya itu dimaklumkan secara lisan oleh Naib Canselor UM Prof Datuk Ghauth Jasmon pada jam 2.35 petang tadi.


"Selepas pertemuan (kedua pihak) lima minit, alasan (bantahan) mereka diterima," kata Farid. Pagi tadi, kira-kira 60 orang berkumpul di perkarangan bangunan pejabat timbalan naib canselor Hal Ehwal Pelajar sambil menolak pintu masuk ke tempat itu dan mengusung patung mayat tanda membantah tindakan UM tidak membenarkan enam mahasiswa bertanding dalam pilihan raya kampus.


Mereka dilarang kerana didakwa mengalami masalah kesihatan dan tidak hadir penuh sesi taklimat calon tanpa alasan kukuh. Empat daripadanya calon pro-M dan dua lagi calon bebas yang cenderung kepada kumpulan yang sering dilabel sebagai anti pentadbiran kampus.


Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Farid berkata calon yang dibenarkan bertanding itu Tan Tiong Yih (kerusi umum) dan seorang lagi calon fakulti Yeong Lee Kee.


Dalam perkembangan sebentar tadi (8.00 malam), permohonan dua lagi calon pro-M - Muhammad Naufal Md Isa dan Hoo Chyi Huat - ditolak jawatankuasa pemilihan. Dengan keputusan terkini UM itu, pro-M kini bakal bertanding di 27 daripada 43 kerusi. Difahamkan musuh mereka Penggerak Mahasiswa (dulu dikenali Pro-Aspirasi) bertanding di kesemua kerusi.


Malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment

Comment here...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails