Saturday, February 27, 2010

AKU CUBA MENCINTAIMU




Aku cuba mencintaiMu Tuhan
Tapi tidak juga terasa
Aku cuba berkali-kali pun tidak terasa apa-apa
Aku fikir-fikirkan nikmat-nikmatMu
Aku kenang-kenangkan rahmatMu
Agar nampak kemurahanMu
Atas nama Tuhan aku akur
Namun aku belum juga jatuh hati denganMu
Aku susah hati, aku sedih selalu
Mengapa terjadi begini
Mengapa cintaku padaMu belum berbunga lagi
Sedangkan aku tahu
aku akui nikmatMu terlalu banyak padaku
Kalau hendak dihitung tidak mungkin dihitung
Walaupun melalui komputer

Aku iri hati selalu
Cerita dan berita orang soleh zaman dahulu
Hebatnya cinta mereka padaMu
Hilang selera makan keranaMu
Asyik memuja dan memujiMu
Mensucikan dan membesarkanMu
Terutama di waktu malam yang sepi,
di waktu orang mimpi
Mereka memujaMu, merintih padaMu
Mengharap kasih sayang padaMu
Air mata mereka membasahi pipi
Ada kala menitis ke bumi

Mereka merasai Engkau adalah segala-galanya
Engkau adalah hidup mati mereka
Engkau adalah di bibir mereka
Engkau adalah hati jantung mereka
Tapi aku tidak begitu
Aduh kerasnya hatiku
Hingga ini aku belum mencintai kekasih
agungku
Baru aku sedar cinta padaMu adalah anugerah
dan hidayahMu
Bertuahlah dan berbahagialah orang yang  Engkau
anugerahkan kecintaan kepadaMu
Aku bilakah lagi Tuhan ?
Dapat sedikit pun jadilah !
Aku tidak putus asa
Aku cuba lagi selagi ada nyawa di badan
Di ujung hidupku pun
Kalau dapat sudah cukuplah wahai Tuhan
Al Hannan wal mannan



Friday, February 26, 2010

Perutusan MauliduRasul 1431H


Kedatangan Muhammad Rasulullah, membawa rahmat kepada alam

yang sangat diperlukan oleh manusia
Rahmatnya yang paling besar, Allah Taala dikenali orang, dicintai, ditakuti,
disembah, disucikan, diagungkan
Itulah nikmat yang tidak ada tandingannya buat manusia
Dari Tuhan yang dicintai dan ditakuti lahirlah buah-buah kehidupan yang indah
yang berlaku dengan banyaknya
Di antara yang penting dan yang dikehendaki oleh manusia bersama
tidak kira apa bangsa atau agamanya ialah:
Manusia berkasih sayang sesama mereka , rasa bersama, bekerjasama
dan bertimbang rasa di dalam kehidupan mereka
Dari sini lahir buah-buahnya lagi yang bercambah terlalu banyaknya  
di dalam kehidupan manusia
Yang kaya menolong, yang miskin sabar dan tidak meminta-minta, yang bersalah meminta maaf, yang tidak bersalah memberi maaf
Orang-orang besar, para ulamak, guru-guru, ibu bapa dihormati
dan dimuliakan menjadi budaya dunia
Golongan bawahan disayangi, diberi simpati, diperhati, diambil peduli    
Dari sini lahir pula lagi buah mahmudah di dalam buah-buah mahmudah
yang sudah sedia ada

Ia beranak-anak kepada sifat-sifat yang positif yang terlalu banyaknya,
merata berlaku di mana-mana sahaja
Ini sangat menguntungkan kepada kepentingan kehidupan manusia,
yang memang diperlukan oleh manusia sejagat
Yang demikian jenayah terlalu kurang di kalangan manusia, pergaduhan tidak ada, pembunuhan apatah lagi, tidak ada jatuh-menjatuhkan
Otomatik hasad dengki hilang
Tidak ada pencurian, penipuan, rasuah, penzaliman, penindasan, pengkhianatan
Tidak ada penzinaan, perogolan, menjatuhkan maruah, menghina,
benci-membenci sesama manusia
Oleh yang demikian lahir lagi buah-buah mahmudah di dalam kehidupan
yang diperlukan yang terlalu banyaknya di dalam kehidupan insan
Yang sangat menguntungkan manusia seluruhnya di dalam kehidupan
Iaitu dunia aman, damai, selamat, tenang dan tidak ada yang menakutkan
Hiduplah manusia di dalam kebahagiaan, kasih sayang, persaudaraan dan keharmonian
Sungguh besar jasanya kedatangan Rasulullah ke dunia kepada manusia sejagat
Mengalirnya rahmat Tuhan melalui perjuangannya ke dalam kehidupan manusia yang orang Islam mahu, mahupun yang bukan Islam mahu di dunia ini
Dunia hari ini perlukan Muhammad kedua sekalipun bukan Rasul
Pemimpin yang membawa watak dan sifat Rasul,
membawa rahmat dari Tuhan ke dunia di dalam perjuangannya
Untuk keperluan manusia sejagat tidak kira bangsa dan anutan agamanya
Hari ini manusia hidup di dalam Neraka dunia
Di dalam masa saya menulis ini Amerika membakar dunia
Manusia sejagat hidup di dalam kelesuan, ketakutan, kesempitan, kecemasan, kecewa, setengah mereka putus asa

Tuhan! Datangkanlah segera pemimpin yang Engkau tunjuk
Yang membawa rahmat kepada manusia sejagat
Yang membawa watak, sifat dan sikap Rasul di dalam kehidupan bangsa di dunia  

Wednesday, February 10, 2010

Remaja Islam Jangan Sambut Valentine


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani...


          Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.
          Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu begitu pentingnya untuk kita mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.
  ASAL USUL VALENTINE  
           Ada tiga pendapat yang kuat berkaitan asal-usul Valentine. Pertama, pada pemerintahan ROM, 14 Februari ditetapkan sebagai hari cuti  bagi orang JUNO ratu kepada dewa-dewa Rom. Pada 15 Feb, diadakan Pesta Lupercalia. Di dalam pesta ini, nama gadis-gadis Rom akan ditulis dan dimasukkan kedalam bekas. Kemudian, para pemuda akan mencabut nama didalam bekas itu, nama yang terpilih akan menjadi pasanngannya sepanjang pesta itu.


          Pendapat kedua, Valentine adalah untuk memperingati ketabahan St. Valentine yang dibunuh oleh Raja Claudius II pada tanggal 14 Feb 270. St. Valentine dibunuh kerana mengingkari arahan raja itu supaya membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan dengan mengahwinkan pasangan secara rahsia.
         Pendapat ketiga iaitu pendapat yang paling masyur, Valentine bermula apabila diisytiharkan oleh Ratu Isabella. Sebagai tanda berterima kasih kepada St. Valentine yang berjaya menakluk dan menghapuskan pengaruh Islam di Cordova, Ratu Isabella membenarkan St. Valentine untuk membuat permintaan. St Valentine, seorang Paderi Katolik, membuat permintaan untuk berkahwin dengan seorang Protestan. Kerana murka, St. Valentine di penjarakan untuk sementara waktu. Ratu Isabella sendiri menetapkan 14 Februari sebagai hari memperingati kekasih untuk St. Valentine.
         Sejarah awal Valentine adalah untuk memperingati St. Valentine/dewa-dewa yang sememangnya jelas bercanggah dengan ajaran Islam lebih-lebih lagi apabila Valentine’s Day ini dikaitkan dengan kemanangan Kristian merampas Cordova dari kerajaan Islam seterusnya menghapuskan kesan kegemilangan Islam dibumi eropah. Kita sebagai pengganut agama Islam sepatutnya bersedih dan berduka.
 HUKUM MENYAMBUT VALENTINE 
 Islam sangat prihatin dan menghendaki supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. ;
Bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”
(Al-Kafirun ayat 1-6)


Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. bermaksud :
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.
(Al-Hajj ayat 67)

SEMANGAT VALENTINE ADALAH SEMANGAT BERZINA

       Sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. 
      Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”
       Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32
        Dalam semangat hari Valentine itu, ada semacam kepercayaan bahawa melakukan maksiat dan larangan-larangan agama seperti bercouple, berpegang tangan, berpelukan, berciuman bahkan hubungan seks luar nikah di kalangan sesama remaja itu menjadi boleh. Alasannya, semua itu adalah ungkapan rasa kasih sayang, bukan nafsu meluluh biasa.
       Padahal kasih sayang yang dimaksud adalah zina yang diharamkan. Orang barat memang tidak boleh membezakan antara cinta dan zina. Ungkapan make love yang ertinya bercinta, seharusnya sekadar cinta yang berkait dengan perasan dan hati, tetapi setiap kita tahu bahawa makna make love atau bercinta adalah melakukan hubungan kelamin aka zina. 
        Di dalam lagu romantik barat yang juga begitu banyak lagu pop di negara kita, ungkapan make love ini bertaburan di sana sini. Bagi orang barat, berzina memang salah satu bentuk pengungkapan rasa kasih sayang. Bahkan berzina di sana merupakan hak asasi yang dilindungi undang-undang.
       Bahkan ibubapa mereka pun tidak punya hak untuk menghalangi anak-anak mereka dari berzina dengan kawan-kawannya. Di barat, zina dilakukan oleh siapa saja, Padahal Allah telah mengingatkan kepada kita tentang zina. Allah kata jangan mendekati zina,bukan jangan melakukan zina yang bermaksud betapa Allah mahu kita jangan menghampiri perkara-perkara yang membawa kepada zina.


           Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan:
“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih di haramkan oleh agama Islam”
Hukum menyambut Valentine’s Day adalah DILARANG dan DITEGAH oleh Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian.
Sesungguhnya Allah itu tuhan yang maha penerima taubat. Bersegeralah bertaubat kepada-Nya.
Wallahualam.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails