Monday, March 30, 2009

Bolehkah Wanita Bernasyid?

ISU SUARA PENASYID WANITA MAWADDAH
Untuk menjawab persoalan ini mari kita lihat hujah secara naqli dahulu. Di sini ingin saya jelaskan bahawa perbahasan samada suara wanita adalah aurat atau tidak belum ada satu ijtihad yang dibuat secara qat’i. Ini bererti pintu ijtihad mengenai isu suara wanita masih dibuka. Kalau kita suluh tentang masalah suara pula, sejauh yang kita lihat dalam Quran dan hadis, belum ada ijtimak ulama mengatakan haram. Dalam Quran atau hadis tidak ada dalil dan nas yang qat’i secara tegas mengatakan haram . Para ulama berijtihad tidak seia sekata. Ada yang membolehkan ada yang tidak membolehkan. Jadi kalau ada banyak pendapat, kita boleh ambil mana-mana pendapat sebab dalam persoalan ijtihad kalau betul dapat dua pahala kalau salah tetap dapat satu pahala. Jadi dalam hal ini kita terima pandangan yang membolehkan suara wanita. Lebih-lebih lagi di sini kita gunakan suara wanita bukan untuk maksiat, bukan untuk gelak ketawa, menggoda lelaki dan melalaikan orang tetapi kita bawa mesej untuk orang kenal Tuhan, cinta dan takutkan Tuhan.
Di sini baru kita faham suara itu salah atau tidak dilihat pada kegunaannya. Kalau salah guna, haramlah kalau betul guna tidaklah haram. Macam tangan juga kalau diguna untuk membantu orang eloklah, tapi kalau tangan itu juga digunakan untuk tempeleng orang, salahlah. Ia bergantung kepada sejauh mana penggunaannya kecuali ada nas yang mengatakan haram. Kalau ada ijmak ulama yang mengatakan suara wanita itu haram maka tentu kita akan ikut, tapi buat masa ini hingga hari ini tidak ada satu ketegasan dalam mengatakan suara tu aurat. Kalau suara wanita boleh dibawa kepada kebaikan, apa salahnya dimanfaatkan. Kalau suara seorang perempuan di kira aurat , maka baca Quran, belajar di universiti, mengajar di sekolah memang tidak bolehlah bagi perempuan. Sedangkan memang digalakkan bersedap-sedap membaca Al-Quran supaya orang tertarik pada Quran.Tetapi di sini saya tidak bermaksud untuk membahaskan persoalan hukum hakam dengan panjang lebar tetapi apa yang lebih utama saya ingin membawa anda sekalian melihat perkara ini dalam skop yang lebih luas dan utama.
Pertamanya ingin saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang cukup prihatin mengenai isu suara wanita. Saya kira mereka tentulah terdiri daripada golongan yang sangat hendak menjaga agamanya. Oleh itu marilah kita nilai persoalan ini secara adil dan rasional.
1. Hari ini untuk memperjuangkan Islam kita perlu menggunakan pelbagai cara dan metod sesuai dengan zaman ini. Di dunia hari ini orang mencetuskan maksiat seluruh dunia dengan berbagai cara dan jalan. Melalui media masa dan media cetak. surat khabar, majalah, tv, bahkan iklan-iklan pun. Dalam iklan makanan pun ada maksiat, iklan pakaian pun ada kejahatan di situ. Ertinya kita sedang berhadapan dengan dunia penuh maksiat. Kalau ibarat sebuah peperangan mereka gunakan 1001 macam senjata kecil dan besar. Ada senapang, mortar, peluru berpandu, kereta kebal, kapal terbang dan lain-lain. Tetapi kita atas nama Islam hanya menggunakan keris sahaja, apakah boleh menang ? Itu secara kiasan. Sudah beratus tahun umat Islam berjuang, bukan umat Islam tidak berjuang, bukan tidak berani mati, tapi begitu sahajalah perjuangan umat Islam. Islam diperjuangakan dengan menggunakan senjata yang tidak cukup lengkap. Yang jauh ketinggalan berbanding dengan musuh. Itu belum lagi kita perkatakan tentang taqwa, itu lagi susah sedangkan senjata lahir pun tidak cukup. Sekarang kita nak berjuang berhadapan dengan dunia maksiat, bukan nak menggunakan senjata macam Amerika tetapi kita berjuang secara minda, secara kasih sayang untuk kejayaan di mana taqwa itu adalah asasnya. Kita mesti mewujudkan sistem alternatif bagi menyaingi kerosakan yang sudah merata dunia. Nisbah senjata lahir itu kena dipelbagai. Kalau hari ini maksiat merata dunia, orang menggunakan penyayi perempuan hingga rosak masyarakat. Tidakkah kita tidak sedar? Sebab itu kita kena fikir macamana nak atasi. Jadi kalau perempuan yang merosakkan, maka perempuan juga yang kena baiki. Jadi kita kena campur tangan juga. Hari ini penyanyi perempuan yang diterima orang . Iklan makanan, iklan kereta pun guna perempuan juga. Ini agenda yahudi untuk rosakkan dunia dengan menaja maksiat yang beleluasa.Sebab itulah penasyid perempuan kena ada. Sudah sampai masanya kita wujudkan satu kumpulan budaya Islam Hadhari melalui perempuan untuk memberi alternatif bahawa Islam mempunyai cara hiburan yang mampu menghibur sambil mendidik, ianya selamat dan menyelamat serta tidak merosak dan melalaikan.
2. Suara juga sepertimana anggota badan yang lain seperti tangan, mata dan telinga boleh digunakan untuk berbuat baik dan salah. Mata boleh digunakan untuk berbuat baik dan buruk. Tapi banyak orang yang menyalahgunakan mata. Kalau banyak orang yang menyalah gunakan mata, apakah kita nak butakan mata? Lidah boleh digunakan untuk kebaikan tapi banyak orang gunakan untuk kejahatan. Jadi kalau begitu apakah nak dipotong lidah? Kalau di salah gunakan telinga, apakah kita pekakkan telinga kita. Lidah kita jahat, mengumpat orang, kita nak potong ke lidah kita. Ertinya anggota badan kita boleh bawa kepada kebaikan dan boleh bawa kepada kejahatan. Terpulang bagaimana kita menggunakannya.
3. Apabila kita melihat realiti yang berlaku hari ini, kita tengok secara terbuka atau di TV, wanita diperalatkan menjadi daya tarik. Sememangnya wanita memberi tarikan yang cukup berkesan sehingga majoriti manusia sangat boleh dipengaruhi oleh penghibur wanita. Cuba kita fikir bagaimana hendak menarik lautan ribuan manusia, demi untuk selamatkan mereka, apakah atas nama Islam dan kebenaran tidak ada daya tarikan melalui suara wanita untuk mengumpan manusia menghala kepada Allah. Sedangkan hiburan adalah keperluan fitrah semulajadi manusia.
4. Oleh itu kita tidak boleh bertindak mengharamkan hiburan maksiat tanpa menyediakan alternatifnya. Masyarakat yang sedang dahagakan hiburan akan bertanya mana alternatif hiburan Islam, mana model kebudayaan Islam hadhari? Apakah Islam tidak mempunyai suatu kaedah hiburan tersendiri hinggakan umat Islam terpaksa berkiblatkan hiburan barat yang rosak lagi merosakkan? Sudah tentu atas nama Islam kita kena persembahkan, kena hidangkan satu bentuk hiburan yang jauh lebih menarik, mengasyikkan dan menyelamatkan sambil mendidik dan membentuk manusia dengan pengaruh-pengaruh positif yang selamat serta menyelamatkan. Jadi manakah alternatif itu, manakah model itu, sedangkan kita mengakui Islam is a complete way of life. Kalau kita terus bahaskan soal suara sebagai aurat tanpa melihat realiti kerosakan budaya yang berlaku hari ini, kita seolah-olah memberi gambaran Islam itu terlalu jumud dan pasif hinggakan tidak memberi ruang untuk berhibur dan berkebudayaan.
Oleh itu apa yang sedang di perjuangkan oleh Mawadah melalui landasan kebudayaan merupakan satu usaha kecil bagi memberi jawapan kepada suara-suara yang bertanya mana dia hiburan Islam, mana dia model kebiudayaan Islam, mana dia hiburan yang selamat dan menyelamatkan. Moga-moga ia mampu menjadi alternatif serta model kebudayaan yang menghibur lagi mendidik. Mesej yang sangat indah perlu disampaikan dengan kaedah dan metod yang indah juga agar menyerlahkan lagi keindahan Islam itu sendiri. Kebenaran itu sangat indah dan mengasyikkan tetapi malangnya, ramai manusia tidak dapat melihat, menikmati dan menghayatinya justeru kegagalan para pejuang Islam menghidangkannya dengan cantik.

2 comments:

  1. Pada prinsipnya suara wanita tidak dikira aurat. Allah tidak melarang wanita bercakap dengan lelaki selagi tidak menimbulkan fitnah bagi dirinya dan bagi lelaki itu, tetapi tidak boleh melembut-lembutkan suara dengan tujuan menggoda atau melalaikan. Firman Allah di dalam al Quran:

    "Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik." (Al-Ahzab: 32)

    Dalam ayat ini, Allah memerintahkan wanita berkata dengan ma'ruf. Ini membuktikan suara mereka bukan aurat. Demikianlah pendapat Syeikh Atiyah Saqr, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Universiti Al-Azhar, Mesir dalam koleksi fatwanya “Soal Jawab Wanita Islam.” – (Yadim Kuala Lumpur, 1997).

    Imam al-Ghazali juga berkata: “Sesungguhnya suara wanita bukanlah aurat kecuali ketika dia menyanyi - maka pada saat itu suaranya aurat."

    Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatwa Muasirah memetik dalil, suara wanita bukan aurat. Kata beliau, al-Quran sendiri mengandungi ayat yang membenarkan wanita berdialog dengan Nabi Muhammad.Pada zaman dahulu ramai kaum wanita di kalangan sahabat yang datang menemui Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam untuk bertanya dan berdialog bersama baginda. Mereka menanyakan pelbagai perkara, termasuk hukum dan didengar oleh kalangan sahabat lelaki. Mereka tidak dilarang bersuara ketika itu.

    Para ulama tafsir menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram).Tiada khilaf dalam hal ini.(Adwa al-Bayan, 5/10 : At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137;)

    Imam As-Suddi berkata : Larangan ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat ( Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177)

    Walaupun begitu, wanita tidak boleh mengeluarkan suara sewenang-wenang; tidak disyariat kepada wanita untuk azan bagi mendirikan sembahyang, kecuali di kalangan mereka sendiri. Apabila seorang wanita ingin menegur kesalahan yang dilakukan imam dalam sembahyang tidak boleh dengan melafazkan tasbih seperti yang dilakukan oleh lelaki, tetapi memadailah dengan menepuk tangannya saja. Mereka juga tidak boleh membaca nyaring dalam bacaan sembahyang.

    Kesimpulan

    Suara wanita boleh dibahagikan kepada dua jenis :

    1) Suara biasa wanita yang didengari secara jahar kepada lelaki awam

    Ia diperbezakan hukumnya di kalangan ulama. Ada yang mengharamkannya secara total, ada yang mengharuskan secara total. Ada pula yang mengharuskannya apabila dijangka tidak membawa fitnah kepada lelaki (Al-Jami' Li Ahkami Quran, 14/227 ; Ibn Qayyim, al-Hasyiah, 6/156 ; ‘Ianah at-Tolibin, Ad-Dimyati ; 3/260 ; Al-furu', Ibn Al-Mufleh, 1/372 )

    2) Yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan.

    Ia adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki secara Ijma'. ( An-Nihayah, Ibn Athir, 42/2 ; Lisan al-Arab, Ibn Manzur , 73/8 ; Tafsir At-Tabari ; 3/22 ; Hasiyah At-Tohawi ; 1/161)

    Rujukan:
    1. Bolehkah Wanita Berdakwah Melalui Nasyid, tulisan Ustaz Zaharuddin bin Abdul Rahman.
    2. Ruangan Rencana dan Pendapat sebuah majalah on-line.

    p/s :Nasyid wanita tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Tetapi jika ia dinyanyikan oleh kanak-kanak wanita yang belum baligh atau ia dinyanyikan khas untuk para wanita, ia adalah harus.
    ISLAM ITU MUDAH, TETAPI TIDAK BOLEH MEMPERMUDAH-MUDAHKAN ISLAM..

    ReplyDelete
  2. syukran...

    Apapun,semuanya bergantung kepada niat seseorang itu.Kalau tujuan nak membawa manusia kembali mengagungkan Tuhan,kembali mencintai Tuhan,kembali membesarkan syariat Tuhan.InsyaAllah tiada masalah.Kalau Niat nak menggoda dan tujuan melalikan sudah jelas terang lagi bersuluh hukumnya haram,sebagai contoh artis2 wanita zaman sekarang yang mendedahkan aurat dan tidak menjaga batasan pergaulan.Mereka ini perlu di perbetulkan dan kembali kepada islam.
    Justeru Mawaddah bangkit dengan hiburan yang mendidik jiwa dan peribadi untuk menggantikan hiburan yang melalaikan ini.Tujuannya hanya satu,membawa mesej kepada manusia untuk kembali kepada Tuhan.Berdakwah melalui nasyid kerana manusia zaman sekarang kususnya mahasiswa dan remaja lebih cenderung kepada hiburan.oleh itu mereka perlu di tarbiyyah sesuai dengan masa.

    Dalam hal ini,kita kena lihat dari beberapa aspek iaitu:

    1.Niat
    Niat hendaklah 100% kerana Allah.tidak untuk tujuan komersial,mrnggoda dan melalaikan.

    2.Mesej yang disampaikan
    Lagu yang disampaikan kena mengandungi mesej yang baik dan tujuan untuk menyedarkan dan membawa manusia kembali kepada Tuhan.secara logik,tiada orang akan tergoda atau terlalai apabila mereka mendengar sesuatu yang baik apatahlagi seruan yang mengajak untuk kembali mengingati Tuhan dan mengagungkanNya.

    3.Tempat
    Tempat disampaikan lagu syubahat.Makna kata di tempat yang tidak dianggap tempat maksiat.

    wallahualam
    :-)perbezaan pendapat adalah rahmat..

    ReplyDelete

Comment here...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails