Wednesday, February 10, 2010

Remaja Islam Jangan Sambut Valentine


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani...


          Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.
          Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu begitu pentingnya untuk kita mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.
  ASAL USUL VALENTINE  
           Ada tiga pendapat yang kuat berkaitan asal-usul Valentine. Pertama, pada pemerintahan ROM, 14 Februari ditetapkan sebagai hari cuti  bagi orang JUNO ratu kepada dewa-dewa Rom. Pada 15 Feb, diadakan Pesta Lupercalia. Di dalam pesta ini, nama gadis-gadis Rom akan ditulis dan dimasukkan kedalam bekas. Kemudian, para pemuda akan mencabut nama didalam bekas itu, nama yang terpilih akan menjadi pasanngannya sepanjang pesta itu.


          Pendapat kedua, Valentine adalah untuk memperingati ketabahan St. Valentine yang dibunuh oleh Raja Claudius II pada tanggal 14 Feb 270. St. Valentine dibunuh kerana mengingkari arahan raja itu supaya membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan dengan mengahwinkan pasangan secara rahsia.
         Pendapat ketiga iaitu pendapat yang paling masyur, Valentine bermula apabila diisytiharkan oleh Ratu Isabella. Sebagai tanda berterima kasih kepada St. Valentine yang berjaya menakluk dan menghapuskan pengaruh Islam di Cordova, Ratu Isabella membenarkan St. Valentine untuk membuat permintaan. St Valentine, seorang Paderi Katolik, membuat permintaan untuk berkahwin dengan seorang Protestan. Kerana murka, St. Valentine di penjarakan untuk sementara waktu. Ratu Isabella sendiri menetapkan 14 Februari sebagai hari memperingati kekasih untuk St. Valentine.
         Sejarah awal Valentine adalah untuk memperingati St. Valentine/dewa-dewa yang sememangnya jelas bercanggah dengan ajaran Islam lebih-lebih lagi apabila Valentine’s Day ini dikaitkan dengan kemanangan Kristian merampas Cordova dari kerajaan Islam seterusnya menghapuskan kesan kegemilangan Islam dibumi eropah. Kita sebagai pengganut agama Islam sepatutnya bersedih dan berduka.
 HUKUM MENYAMBUT VALENTINE 
 Islam sangat prihatin dan menghendaki supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. ;
Bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”
(Al-Kafirun ayat 1-6)


Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. bermaksud :
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.
(Al-Hajj ayat 67)

SEMANGAT VALENTINE ADALAH SEMANGAT BERZINA

       Sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. 
      Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”
       Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32
        Dalam semangat hari Valentine itu, ada semacam kepercayaan bahawa melakukan maksiat dan larangan-larangan agama seperti bercouple, berpegang tangan, berpelukan, berciuman bahkan hubungan seks luar nikah di kalangan sesama remaja itu menjadi boleh. Alasannya, semua itu adalah ungkapan rasa kasih sayang, bukan nafsu meluluh biasa.
       Padahal kasih sayang yang dimaksud adalah zina yang diharamkan. Orang barat memang tidak boleh membezakan antara cinta dan zina. Ungkapan make love yang ertinya bercinta, seharusnya sekadar cinta yang berkait dengan perasan dan hati, tetapi setiap kita tahu bahawa makna make love atau bercinta adalah melakukan hubungan kelamin aka zina. 
        Di dalam lagu romantik barat yang juga begitu banyak lagu pop di negara kita, ungkapan make love ini bertaburan di sana sini. Bagi orang barat, berzina memang salah satu bentuk pengungkapan rasa kasih sayang. Bahkan berzina di sana merupakan hak asasi yang dilindungi undang-undang.
       Bahkan ibubapa mereka pun tidak punya hak untuk menghalangi anak-anak mereka dari berzina dengan kawan-kawannya. Di barat, zina dilakukan oleh siapa saja, Padahal Allah telah mengingatkan kepada kita tentang zina. Allah kata jangan mendekati zina,bukan jangan melakukan zina yang bermaksud betapa Allah mahu kita jangan menghampiri perkara-perkara yang membawa kepada zina.


           Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan:
“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih di haramkan oleh agama Islam”
Hukum menyambut Valentine’s Day adalah DILARANG dan DITEGAH oleh Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian.
Sesungguhnya Allah itu tuhan yang maha penerima taubat. Bersegeralah bertaubat kepada-Nya.
Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Comment here...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails