Saturday, November 21, 2009

Haji Kemuncak Ibadah




Haji adalah rukun sebagaimana pegangan akidah muslim. Ibadah ini adalah satu ketetapan Illahi sejak azali lagi dan ianya berkait rapat dengan kepercayaan hari kebangkitan kelak ketika menghadapi tuhan Rabbul jalil.
 
Setiap ibadah mempunyai tatacara dan kaifiatnya yang tersendiri. Islam meletakkan kaedah-kaedah ini setelahmana usul dan qawaid diperbincangkan. Di sana timbullah kaedah "setiap yang bermula ada permulaannya" begitulah yang diungkapkan dari pengucapan bahasa Arab.
 
Tetapi ianya bukanlah satu perbincangan tuntas dalam memperkatakan soal kewajipan haji atau menyentuh aspek rukun dan sunat haji. Adanya ruang yang lebih luas untuk menghuraikan cabangan kaedah ini,lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan kefardhuan Islam dan bagi Allah sahajalah yang selayakya untuk segala coretan yang bersifat baharu baik bersifat qadim.
 
Bersandarkan pada persepsi ini, bagi sesiapa yang diizinkan Allah untuk menunaikan kefardhuan haji pada tahun ini setelah segala persiapan yang bersungguh-sungguh dengan mendapat petunjuk untuk menjadi tetamu Allah. Pada tulisan ini penulis mengira mereka ini adalah golongan yang mengendong beg-beg mereka dan bermusafir kedua-dua tanah suci haram yang dimuliakan oleh Allah dengan permusafiran dan perjalanan yang sungguh bahagia.

Ziarah ke BaitillahilHaram ini adalah semulia-mulia kefardhuan dan dinilai tinggi di sisi Allah swt. Kefardhuan ini ditaklifkan oleh Allah kepada hambanya sejak awal penciptaan makhluk, malah sebelum penciptaan itu lagi Allah telah memilih tempatnya yang mulia lagi barakah ini. Tempat itu pada ilmu Allah Taala sejak azali lagi akan dijadikan kiblat bagi keseluruhan manusia kerana ianya berpusat pada kedudukan yang sama dengan Bait Ma’mur di langit yang keempat.

Anas bin Malik r.a meriwayatkan daripada Malik bin Sa’saah dengan katanya: berkata Rasulullah S.a.w: “aku telah dibawa ke langit keempat dan diangkat ke Bait Ma’mur. Kedudukannya bersetentangan dengan kaabah,jika runtuhnya ia maka mengenai kaabah. Pada setiap hari akan masuklah 70000 para malaikat kedalamnya lalu apbila mereka keluar dari situ mereka tidak akan kembali lagi ke arahnya''.

Pada satu aspek, Baitulllah yang mulia ini dianggap sebagai paksi bumi di antara timur dan barat dan juga menjadi satu pusat tumpuan penglihatan dan hati-hati manusia dari seantero dunia sejak dahulu hinggalah tiba kiamat kelak. Pada asas pembinaan Baitullah ini, ianya disempurnakan dalam beberapa peringkat:

Peringkat pertama: sebelum penciptaan abul basyar Adam a.s. sebagaimana diriwayatkan daripada Hasan bin Husein bin Ali bin Abi Talib radiyallahuanhum. Sesungguhnya seorang lelaki datang bertanyanya: "apakah asas permulaan tawaf bagi kaabah ini? Kenapa dan bagaimana? Maka jawab Ali kepada lelaki tersebut:" permulaan tawaf bagi kaabah ini ketika mana Allah taala berfirman kepada para malaikat: " Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah….."Al Baqarah 30

Maka kata malaikat: '' wahai Tuhan! khalifah selain kami ini bakal merosakkan bumi menumpahkan darah dan bercakaran serta berhasad dengki. Lalu kata mereka lagi: jadikanlah khalifah itu di kalangan kami, nescaya kami tidak melakukan kerosakan,menumpahkan darah dan berhasad dengki bahkan kami ini golongan yang bertasbih, memuji dan menyucikanMu. Kami taat padaMu dan tidak ingkar.
Lalu Allah berfirman:
" Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."


Di dalam satu riwayat mengatakan:
" Allah s.w.t telah meletakkan di bawah arasy itu sebuah rumah yang berbucukan empat. Kemudian Allah berfirman kepada para malaikat: " tawaflah kamu semua di rumah ini (Kaabah), lalu bertawaflah para malaikat di Baitil Ma'mur yang telah disebutkan oleh Rasul s.a.w di mana ia dimasuki setiap hari siang dan malam oleh 70000 malaikat dan mereka ini tidak kembali. Kemudian riwayat ini juga menyebutkan Allah mengantarkan utusan dengan firmannya:
" binakanlah bagiku sebuah binaan di bumi seumpamanya ( Bait Ma'mur) dan seutuhnya, lalu Allah memerintahkan makhluknya yang berada di bumi bertawaf sepertimana tawafnya penduduk langit di Bait Ma'mur.

Peringkat kedua : iatulah pada zaman Adam alaihissalam setelah mendapat perintah Allah s.w.t. Perkara ini sebagaimana pendapat yang diberikan oleh sebahagian mufassirin. Imam Thabari ketikamana menghuraikan pada tafsiran firman Allah s.w.t:
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah".

Firman Allah pada ayat ini menurut huraian tafsiran Imam Thabari menunjukkan asas pembinaan kaabah bermula dengan tangan Abul Basyar Adam alaihissalam setelah diperintah Rabbul jalil lalu binaan ini kekal kesannya hingglah ke zaman nabi Ibrahim alaihissalam kemudian binaan ini ditinggikan oleh Ibrahim a.s bersama anaknya Ismail alaihissalam.

Al Imam Qurthubi pula mengulas di dalam tafsirnya dengan menjelaskan: " Setelah selesainya pembinaan kaabah, nabi Ibrahim a.s seraya menyeru manusia kepada haji dengan kata baginda: wahai Tuhan! Apakah akan sampai seruan suaraku ini? Berfirman Allah: serulah mereka, lalu berangkatlah Ibrahim memanjat bukit Abi Qubais lalu melaungkan seruan haji: " wahai Manusia! Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kamu semua menunaikan haji di rumah ini (kaabah) supaya diganjarkan kamu dengan syurga dan melepaskan kamu dari azab neraka.
Lalu seruan tersebut disahut dengan laungan talbiah oleh umatnya. Pengsyariatan haji pada zaman Ibrahim Alaihissalam sangat berbeza, mengikut riwayat yang diambil melalui ibn abbas dan ibn Jabir menceritakan syariat haji pada zaman itu berasaskan seruan Nabi Ibrahim. Sekiranya pada satu tahun diseru dengan sekali maka diwajibkan sekali sekiranya dua kali penyeruan itu lalu umat pada ketika itu akan melakukan haji secara dua kali" .

Peringkat ketiga: Pada peringkat ini ulamak mengambil fakta berdasarkan kedatangan Amaliqah (satu puak selepas zaman nabi Ibrahim) dengan membuat pembinaan dan pemulihan semula. Namun disana juga terdapat pendapat yang bersandarkan riwayat daripada Abd Mun'im bin Idris daripada Wahab bin Munabbih dengan katanya: orang yang memulakan binaan kaabah dengan menggunakan salutan batu dan tanah adalah Syish a.s. Adapun pembinaan pada zaman Quraisy begitu masyhur. Pemulihan dan pembinaan ini berterusan secara berperingkat-peringkat sehinggalah 5 tahun sebelum kebangkitan Rasul s.a.w tajdid ini sentiasa dilakukan. Tiba pada zaman ketika kaabah di bawah penguasaan Quraisy pula, binaan kaabah telah dibina semula dengan menggunakan batu-batu wadi ini sebagaimana yang dinaqalkan oleh Imam Qurthubi di dalam Jami' ahkam Al quran dengan riwayat oleh abd Razak daripada Muammar daripada Abdullah bin Uthman daripada Abi Tufail. Rasul s.a.w adalah di kalangan mereka yang bersama-sama membantu pembinaan ini. Pada ketika pembinaan kaabah ditinggikan pada ketinggian 20 hasta. Ini sebagaimana yang di ceitakan di dalam catitan sejarah dan sirah nabawiyyah yang ianya tidak dapat dipadam.

Begitulah pembinaan dan pembaik pulihan sehinggalah ke zaman Malik Saudi dengan pemasangan 2 pintu masuk baru. Pemasangan ini terus menerus dengan pembaharuan system dari satu pemerintahan ke pemerintahan.

Pertama: pembaikan yang dilakukan pada zaman Malik Abd Aziz Rahimahullah pada 1944M/1363H.
Kedua: berlaku pada zaman Malik Khalid iaitulah dengan pemasangan pintu dengan salutan emas tulin. 




Fardhu haji adalah satu rukun yang amat berbeza dengan rukun-rukun yang lain dari segala aspek terutamanya aspek praktikaliti yang teliti dan rumit serta memerlukan pengorbanan yang amat besar dan banyak. Kefardhuan haji adalah anasir yang terhimpun dari dua aspek yang seiring iaitulah jasadi dan harta. Ianya juga kadangkala tampak jelas sekali hikmah-hikmah yang tidak dapat dijelaskan dan dihuraikan dengan akal budi manusia yang terbatas ini. Perkara ini dijelaskan sebagaimana firman Allah di dalam surah Al Haj berkaitan dengan hikmah-hikmah pada beberapa bahagian rukun dan wajibnya tanpa menyentuh bahagian-bahagian yang lain. Firman Allah di dalam surah al-Haj 28-29:

" Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin."

"Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu."

Firman Allah lagi di dalam surah yang sama pada ayat yang lain :

"Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur".

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya".
surah al- Haj : 36-37

Melalui firman Allah ini, haji dinilai dari beberapa sudut ianya hanyalah pada pakaian semata-mata. Mungkin juga ada yang berpandangan dengan sendiri ianya pakaian yang menjurus ke arah ketaasuban yang sempit. Tetapi pada satu sisi pandangan lain ianya satu fitrah yang boleh disingkap dengan iktibar.

Di dalam diri manusia terdapat satu kecenderungan fitrah yang menular dan melebar luas berhasil dari pembentukan secara zahir dan rohani. Pada asas fitrah ini, Islam telah menegaskan segala bentuk ubudiah secara keseluruhannya. Ianya dapat dipraktikkan di dalam ibadah haji yang menyentuh dari segenap aspek samaada hati,pancaindera dan gerak geri perbuatan.

Haji pada isitilah dengan membawa maksud kata-kata dan perbuatan yang dilaksanakan pada waktu yang dikhususkan. Bagi seseorang yang mengerjakan haji dia akan melihat dan terhidang di mata kepalanya dengan syiar-syiar yang telah disebutkan Allah. Berdirinya di lapangan Kaabah lantas bertawaf sekitar Baitil Atiq rumah kecil yang dibina oleh Abul anbiya bersama anaknya. Perkara ini jelas di dalam firmanNya:

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim a.s bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui ".
Al-Baqarah :127

Selesainya tawaf sekitar kaabah, sa'ie menjadi hala tuju seterusnya. Di sinilah terpaterinya sejarah seorang ibu yang penyabar. Ibu ini yang telah mengendong bayi kecil setelah ditinggalkan suaminya atas perintah Rabbul Jalil. Perkara ini terpahat sebagai satu syiar Islam sehingga dijadikan rukun haji. Safa dan marwah adalah tempat yang mulia dan agung bagi penunai haji. Perkara ini dijelaskan di dalam firman Allah:
" Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah dia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya……."

Peristiwa Ibrahim a.s yang telah diperintahkan untuk meninggalkan isteri dan anaknya ini tercatat di dalam lipatan sejarah. Peninggalan Ibrahim a.s ini disaksikan dengan firman Allah ketika baginda bermunajat dengan doanya memohon keselamatan kepada isteri dan anaknya. Firman Allah di dalam surah Ibrahim ayat 37:

" Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur".
Kesimpulannya, haji merupakan symbol kesatuan ummah dalam merealisasikan ketaatan terhadap Allah. Dari aspek yang lain, kesatuan ini menunjukkan tolenrasi Islam tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit untuk ibadah yang satu. Ianya juga di anggap simbolik kepada keadaan yang bakal ditempuhi oleh umat manusia setelah mengakhiri hayat mereka kelak. Di sanalah juga bakal wujudnya satu perhimpunan yang agung di atas lembaran mahsyar yang dahsyat.

Sources: Mindamadani.my

No comments:

Post a Comment

Comment here...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails