Tuesday, October 6, 2009

Mahasiswa UM lancar kempen sokong Kartika


Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) akan melancarkan kempen 'Kelab Sahabat Kartika' bagi memberi sokongan moral kepada Kartika Sari Dewi Shukarnor berhubung isu penangguhan hukuman sebat terhadap wanita tersebut.
MPMUM melalui unit Hal Ehwal Wanita (HELWA), akan melancarkan kempen tersebut tiga hari bermula pada 15 hingga 17 Oktober ini bersempena Festival Mahasiswa Universiti Malaya (FEMINA).
Lebih menarik, pada tarikh sama turut akan diadakan demonstrasi sebat oleh wakil penjara mengikut undang-undang syariah.
"Kami anjurkan semua ini bagi menunjukkan kebersamaan dan sokongan mahasiswa terhadap dia (Kartika).
"Kami lihat terlalu banyak pihak yang memberi tekanan kepada dia, " ujar Setiausaha MPMUM, Shah Rizul Ayuni Zulkiply.
Keputusan mengadakan kempen dan demonstrasi sebat tersebut dicapai selepas pertemuan kali pertama mereka dengan model sambilan tersebut 4 Oktober lalu.

Dalam kunjungan itu, MPMUM bersama-sama Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah menjemput Kartika berkongsi pendiriannya kepada mahasiswa dalam satu program khas anjuran mereka bulan ini.
Setelah berbincang, Kartika hanya bersetuju untuk hadir selepas selesai menjalani hukuman atas alasan keselamatan.
"Kartika ada beritahu kami, banyak NGO dan wakil parti politik datang jumpa, tapi tak ramai yang menyokong keputusan dia yang mahu disebat. Yang medesak dia tarik keputusan tersebut ramai la.
"Dia (Kartika) juga kesal dengan laporan media yang membuat laporan tapi tidak sampai tahap yang dia mahu, " kata Ayuni lagi.
24 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika sempena menghormati kemuliaan Ramadan.
Kartika, 32, sepatutnya dibawa ke Penjara Wanita Kajang, Selangor bagi menjalani hukuman sebat kerana meminum arak tetapi ditangguhkan pada saat-saat akhir dengan alasan perintah tahanan terhadapnya tidak dapat dilaksanakan ketika ini.
Kartika didenda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas kerana meminum arak di pusat hiburan di Cherating, pada 11 Julai tahun lepas.
Dari sudut sejarahnya, Kartika merupakan wanita pertama yang akan disebat akibat kesalahan meminum arak di negara ini sedangkan Iran, Pakistan, Arab Saudi, Sudan dan negara-negara yang mengamalkan hukum islam, ia merupakan satu fenomena biasa.

No comments:

Post a Comment

Comment here...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails