Monday, March 30, 2009

Hiburan Orang Mukmin


Semua orang sukakan hiburan. Adakalanya hiburan memang perlu bagi sesetengah orang. Kerana hiburan boleh mendatangkan ketenangan, mengurangkan tekanan dan menyegarkan emosi. Ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan seseorang itu pemarah, bertindak kasar, tertekan dan kerungsingan. Menyuburkan emosi memang penting kerana di situ nanti akan tumbuh dan suburnya kasih sayang, sikap prihatin dan peka. Apabila disebut hiburan, bukan bererti semata-mata nyanyian, konsert, pesta, karaoke, kelab malam dan seumpamanya. Melihat keindahan alam juga adalah hiburan. Melancong atau musafir atau ekspedisi, berkelah, dan seumpamanya adalah sejenis hiburan juga.Biar apa pun jenis hiburan, semuanya terbahagi kepada tiga kategori: Pertama: Hiburan hakiki
Bagi orang mukmin, iman, ibadah, wirid dan zikir atau apa saja pekerjaan yang membawa kepada mendapat pahala dari Allah SWT adalah hiburan. Hatinya tenang tenteram. Jiwanya sentiasa hidup dan segar. Emosinya selalu terkawal. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam firmanNya: Maksudnya:
"Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang." (Ar-Raad: 28)
Ingat (zikir) kepada Allah itu luas pengertiannya. Zikir itu merangkumi apa saja sifat terpuji (mahmudah), rasa kehambaan yang mendalam, rintihan dan munajat, semuanya dinamakan zikir qalbi atau zikir hati. Ini termasuk juga rasa syukur apabila mendapat nikmat, sabar apabila menghadapi ujian dan redha apabila ditimpa musibah. Zikir qauli (perkataan) atau lisan ini ialah pengucapan lidah terhadap Asma` Allah, puji-pujian, istighfar, selawat, takbir, tasbih, tahmid dan membaca Al Quran. Apa yang penting pengucapan itu mestilah beserta hadir hati atau dari hati. Barulah berkesan dan sempurna zikirnya, serta berhasil mensucikan hati dan memperolehi Nur atau cahaya dafi Allah SWT. Zikir fi`li (perbuatan) pula ialah apa saja pekerjaan yang bersesuaian dengan syariat dan ditujukan kepada Allah , maka ianya dikira ibadah yang dikira sebagai zikir juga. Oleh itu bagi orang yang benar-benar mengikut sunnah, rnenguap, tidur, baring, makan, minum, masuk tandas, `berkawan, bergaul, dan urusan keluarga, masyarakat, negara dan umat semuanya merupakan ibadah. Inilah kebahagiaan sejati yang terbenam di dalam hati sanubari orang mukmin. Orang yang begini, kesukaran dalam hidupnya tidak menjejaskan hati dan perasaan ; apatah lagi kalau memiliki kehidupan yang senang dan serba ada. Kedua: Hiburan `pain-killer` Apa saja jalan bagi menghilangkan keresahan dan kerungsingan dan masih dalam keharusan atau tidak bercanggah dengan syariat. Seumpama yang disebut sebelum ini iaitu berkelah, melihat keindahan alam , melancong dan termasuk nasyid-nasyid yang kini mula popular. Memanglah hiburan jenis ini boleh juga sampai ke tahap hakiki sekiranya dapat dijadikan wasilah untuk merasa kebesaran Allah, dapat melihat dengan mata hati Maha Penciptanya Allah SWT. Atau tumbuh rasa gerun dan takut kepada Allah SWT. Realitinya tidak begitu. Kebanyakan orang hanya sekadar terhenti sebagai hiburan. Namun selagi tidak mendatangkan kesan negatif, bolehlah dianggap sebagai `pain killer`. Ertinya ubat yang melenyapkan dan melupakan masalah buat seketika iaitu ketika berhibur itu. Tetapi tidak menghapuskan punca atau virus penyakit yang dialami. Ketiga: Hiburan `junk food` Hiburan jenis ini yang paling banyak dan popular. Bukan saja tidak bersifat menyembuhkan atau `pain killer` malah umpama penagihan dadah. Memanglah seronok. Tetapi keseronokan bukan bererti kebahagiaan atau ketenangan. Malah di sebaliknya pula umpama pengambilan najis dadah yang secara beransur-ansur tanpa disedari membawa akibat buruk dan negatif untuk jangka panjang. Kalau junk food yang sebenar biasanya mengakibatkan kesan sampingan dan kerosakan tubuh anggota badan. Manakala hiburan `junk food` ini mendatangkan kesan buruk pada hati yang sukar dikesan. Terutamanya hati menjadi semakin keras, kesat, terdinding dari mendapat kelazatan dalam mengingati Allah dan ibadah dan sukar pula menerima kebenaran. Sesungguhnya orang yang mendapat hiburan hakiki itu umpama orang yang mengecapi makanan dan hidangan yang lazat dan enak. Dia tidak mahu lagi kepada gula-gula yang bukan sahaja tidak mengenyangkan malah tidak berkhasiat. Selalunya yang sangat menyukai gula-gula ini ialah kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Comment here...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails