Friday, February 26, 2010

Perutusan MauliduRasul 1431H


Kedatangan Muhammad Rasulullah, membawa rahmat kepada alam

yang sangat diperlukan oleh manusia
Rahmatnya yang paling besar, Allah Taala dikenali orang, dicintai, ditakuti,
disembah, disucikan, diagungkan
Itulah nikmat yang tidak ada tandingannya buat manusia
Dari Tuhan yang dicintai dan ditakuti lahirlah buah-buah kehidupan yang indah
yang berlaku dengan banyaknya
Di antara yang penting dan yang dikehendaki oleh manusia bersama
tidak kira apa bangsa atau agamanya ialah:
Manusia berkasih sayang sesama mereka , rasa bersama, bekerjasama
dan bertimbang rasa di dalam kehidupan mereka
Dari sini lahir buah-buahnya lagi yang bercambah terlalu banyaknya  
di dalam kehidupan manusia
Yang kaya menolong, yang miskin sabar dan tidak meminta-minta, yang bersalah meminta maaf, yang tidak bersalah memberi maaf
Orang-orang besar, para ulamak, guru-guru, ibu bapa dihormati
dan dimuliakan menjadi budaya dunia
Golongan bawahan disayangi, diberi simpati, diperhati, diambil peduli    
Dari sini lahir pula lagi buah mahmudah di dalam buah-buah mahmudah
yang sudah sedia ada

Ia beranak-anak kepada sifat-sifat yang positif yang terlalu banyaknya,
merata berlaku di mana-mana sahaja
Ini sangat menguntungkan kepada kepentingan kehidupan manusia,
yang memang diperlukan oleh manusia sejagat
Yang demikian jenayah terlalu kurang di kalangan manusia, pergaduhan tidak ada, pembunuhan apatah lagi, tidak ada jatuh-menjatuhkan
Otomatik hasad dengki hilang
Tidak ada pencurian, penipuan, rasuah, penzaliman, penindasan, pengkhianatan
Tidak ada penzinaan, perogolan, menjatuhkan maruah, menghina,
benci-membenci sesama manusia
Oleh yang demikian lahir lagi buah-buah mahmudah di dalam kehidupan
yang diperlukan yang terlalu banyaknya di dalam kehidupan insan
Yang sangat menguntungkan manusia seluruhnya di dalam kehidupan
Iaitu dunia aman, damai, selamat, tenang dan tidak ada yang menakutkan
Hiduplah manusia di dalam kebahagiaan, kasih sayang, persaudaraan dan keharmonian
Sungguh besar jasanya kedatangan Rasulullah ke dunia kepada manusia sejagat
Mengalirnya rahmat Tuhan melalui perjuangannya ke dalam kehidupan manusia yang orang Islam mahu, mahupun yang bukan Islam mahu di dunia ini
Dunia hari ini perlukan Muhammad kedua sekalipun bukan Rasul
Pemimpin yang membawa watak dan sifat Rasul,
membawa rahmat dari Tuhan ke dunia di dalam perjuangannya
Untuk keperluan manusia sejagat tidak kira bangsa dan anutan agamanya
Hari ini manusia hidup di dalam Neraka dunia
Di dalam masa saya menulis ini Amerika membakar dunia
Manusia sejagat hidup di dalam kelesuan, ketakutan, kesempitan, kecemasan, kecewa, setengah mereka putus asa

Tuhan! Datangkanlah segera pemimpin yang Engkau tunjuk
Yang membawa rahmat kepada manusia sejagat
Yang membawa watak, sifat dan sikap Rasul di dalam kehidupan bangsa di dunia  

Wednesday, February 10, 2010

Remaja Islam Jangan Sambut Valentine


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani...


          Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.
          Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu begitu pentingnya untuk kita mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.
  ASAL USUL VALENTINE  
           Ada tiga pendapat yang kuat berkaitan asal-usul Valentine. Pertama, pada pemerintahan ROM, 14 Februari ditetapkan sebagai hari cuti  bagi orang JUNO ratu kepada dewa-dewa Rom. Pada 15 Feb, diadakan Pesta Lupercalia. Di dalam pesta ini, nama gadis-gadis Rom akan ditulis dan dimasukkan kedalam bekas. Kemudian, para pemuda akan mencabut nama didalam bekas itu, nama yang terpilih akan menjadi pasanngannya sepanjang pesta itu.


          Pendapat kedua, Valentine adalah untuk memperingati ketabahan St. Valentine yang dibunuh oleh Raja Claudius II pada tanggal 14 Feb 270. St. Valentine dibunuh kerana mengingkari arahan raja itu supaya membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan dengan mengahwinkan pasangan secara rahsia.
         Pendapat ketiga iaitu pendapat yang paling masyur, Valentine bermula apabila diisytiharkan oleh Ratu Isabella. Sebagai tanda berterima kasih kepada St. Valentine yang berjaya menakluk dan menghapuskan pengaruh Islam di Cordova, Ratu Isabella membenarkan St. Valentine untuk membuat permintaan. St Valentine, seorang Paderi Katolik, membuat permintaan untuk berkahwin dengan seorang Protestan. Kerana murka, St. Valentine di penjarakan untuk sementara waktu. Ratu Isabella sendiri menetapkan 14 Februari sebagai hari memperingati kekasih untuk St. Valentine.
         Sejarah awal Valentine adalah untuk memperingati St. Valentine/dewa-dewa yang sememangnya jelas bercanggah dengan ajaran Islam lebih-lebih lagi apabila Valentine’s Day ini dikaitkan dengan kemanangan Kristian merampas Cordova dari kerajaan Islam seterusnya menghapuskan kesan kegemilangan Islam dibumi eropah. Kita sebagai pengganut agama Islam sepatutnya bersedih dan berduka.
 HUKUM MENYAMBUT VALENTINE 
 Islam sangat prihatin dan menghendaki supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. ;
Bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”
(Al-Kafirun ayat 1-6)


Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. bermaksud :
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.
(Al-Hajj ayat 67)

SEMANGAT VALENTINE ADALAH SEMANGAT BERZINA

       Sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. 
      Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”
       Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32
        Dalam semangat hari Valentine itu, ada semacam kepercayaan bahawa melakukan maksiat dan larangan-larangan agama seperti bercouple, berpegang tangan, berpelukan, berciuman bahkan hubungan seks luar nikah di kalangan sesama remaja itu menjadi boleh. Alasannya, semua itu adalah ungkapan rasa kasih sayang, bukan nafsu meluluh biasa.
       Padahal kasih sayang yang dimaksud adalah zina yang diharamkan. Orang barat memang tidak boleh membezakan antara cinta dan zina. Ungkapan make love yang ertinya bercinta, seharusnya sekadar cinta yang berkait dengan perasan dan hati, tetapi setiap kita tahu bahawa makna make love atau bercinta adalah melakukan hubungan kelamin aka zina. 
        Di dalam lagu romantik barat yang juga begitu banyak lagu pop di negara kita, ungkapan make love ini bertaburan di sana sini. Bagi orang barat, berzina memang salah satu bentuk pengungkapan rasa kasih sayang. Bahkan berzina di sana merupakan hak asasi yang dilindungi undang-undang.
       Bahkan ibubapa mereka pun tidak punya hak untuk menghalangi anak-anak mereka dari berzina dengan kawan-kawannya. Di barat, zina dilakukan oleh siapa saja, Padahal Allah telah mengingatkan kepada kita tentang zina. Allah kata jangan mendekati zina,bukan jangan melakukan zina yang bermaksud betapa Allah mahu kita jangan menghampiri perkara-perkara yang membawa kepada zina.


           Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan:
“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih di haramkan oleh agama Islam”
Hukum menyambut Valentine’s Day adalah DILARANG dan DITEGAH oleh Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian.
Sesungguhnya Allah itu tuhan yang maha penerima taubat. Bersegeralah bertaubat kepada-Nya.
Wallahualam.

Thursday, January 28, 2010

Universiti Malaya Dikuasai Pro-Aspirasi



Pada PRK kali ini, Pro Aspirasi berjaya menguasai kembali Universiti Malaya.Kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya gagal mempertahan kerusi mereka untuk mendapat majoriti dalam Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) apabila tewas di tangan kumpulan Pro-Aspirasi

Mengikut keputusan PRK, Pro-M hanya mendapat 17 kerusi berbanding Pro Aspirasi atau Penggerak, 21 kerusi, manakala bebas pula berjaya memperoleh 3 kerusi.Keputusan itu sekaligus meranapkan harapan Pro Mahasiswa untuk kembali menguasai Universiti Malaya seperti pilihan raya kampur tahun lalu. 

Pengumuman keputusan PRK ini dibuat Naib Canselor Prof Datuk Ghauth Jasmon di Dewan Tunku Canselor (DTC) dihadapan penyokong kedua-dua kumpulan.Walaupun demikian, Pro-M mengemukan beberapa bantahan sewaktu tempoh bantahan dan rayuan dibuka selepas pengumuman dibuat.

Bantahan yang di kemukakan adalah seperti gangguan sistem undian beberapa jam dan mengganggu sekurang-kurangnya keputusan di tiga kolej.Kejadian itu menyebabkan Pro-M meragui keputusan yang diumumkan.



Saturday, January 23, 2010

Bila Al Quran Mula Berkata...




Waktu engkau masih kanak-kanak, kau laksana kawan sejatiku,
Dengan Wudu' aku kau sentuh, dalam keadaan suci aku kau pegang,
Aku kau junjung dan kau pelajari, Aku kau baca dengan suara yang lembut setiap hari,
Setelah selesai, engkau menciumku dengan mesra.

Sekarang engkau telah dewasa, nampaknya engkau sudah tidak berminat padaku,
Apakah aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah?
Menurutmu mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu,
Atau aku hanya untuk budak kecil yang baru belajar mengaji.

Sekarang aku tersimpan rapi, sehingga engkau lupa di mana aku tersimpan,
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai pengisi almari kosongmu,

Kadangkala aku dijadikan mas kahwin agar engkau dianggap bertaqwa,
Atau aku kau buat sebagai penangkal untuk menghalau iblis dan syaitan.

Kini aku lebih terabai, dibiarkan dalam kesepian,
Di dalam almari,di dalam laci, aku engkau sembunyikan,


Dulu, awal pagi, surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapa halaman,


Diwaktu petang, aku kau baca bersama temanmu di surau,

Sekarang..seawal pagi sambil minum kopi, engkau baca surat khabar dahulu,
Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia,
Sedangkan aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,
Engkau abaikan dan engkau lupakan.

Waktu pergi kerja pun kadang engkau lupa baca pembuka surah surahku(Bismillah),
Di dalam perjalananmu lebih asyik menikmati musik duniawi,
Tidak ada CD yang berisi ayat Allah di dalam keretamu,
Kerana sepanjanng perjalanan, radiomu selalu menghiburkanmu dengan stesen muzik kegemaranmu.

Di komputermu pun kau mainkan muzik kegemaranmu,
Jarang sekali engkau mainkan ayat ayat Allah,
E-mail kawanmu yang ada ayat ayat Allah pun engkau abaikan,
Engkau terlalu sibuk dengan dunia mu.

Benarlah dugaanku bahawa engkau kini sudah benar-benar melupakanku,
Bila malam tiba engkau tahan bersekang mata berjam jam di depan TV,
Di depan komputer berjam-jam engkau sanggup duduk,
Hanya membaca berita murahan dan gambar sampah.

Aku semakin kusam dalam laci-lacimu,mengumpul debu atau mungkin di makan hama,
Seingatku hanya awal ramadhan engkau kembali membacaku,
Itu pun hanya beberapa lembar dariku,
Dengan suara dan lafaz yang tidak semerdu dulu.

Engkau pun kini terangkak-rangkak ketika membacaku,
kadang kadang di waktu kematian saudara mu baru engkau membacaku,

Bila engkau di kubur sendirian menunggu kiamat tiba,
Engkau akan di periksa oleh para malaikat,
Apakah tv,radio,hiburan atau komputer yang dapat menolongmu?
Yang pasti hanya ayat ayat Allahyang ada padaku yang dapat menolongmu.

Itu janji Tuhanmu, Allah SWT.
Jika Aku kau baca selalu dan engkau hayati,
Di kuburmu nanti, aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan,
Yang akan membantu mu membela diri,
Dalam perjalanan menuju negeri abadi.

Dan akulah Al Quran kitab sucimu, yang sentiasa setia menemanimu dan melindungimu,
Peganglah aku kembali, bacalah aku kembali setiap hari,
kerana ayat yang ada padaku adalah ayat yang suci,
Yang berasal dari Allah Azzawajalla.

Keluarkanlah aku dari almari lacimu, Letakkanlah aku selalu di depan meja kerjamu,
Agar engkau sentiasa mengingati Tuhanmu.

Sentuhlah aku kembali...baca dan pelajari aku lagi...
Setiap datangnya pagi, petang dan malam hari walau secebis ayat,
seperti dulu...waktu engkau masih kecil,di surau kecil kampungmu yang damai.

Jangan engkau biarkanku sendiri, dalam bisu dan sepi....

Wednesday, January 20, 2010

Facebook:Pengguna penentu halal haramnya




Laman jaringan sosial Facebook atau singkatannya FB, kini terus menjadi fenomena bagi pengguna internet di Malaysia.

Penggunanya dikatakan bukan sahaja sahaja merangkumi peringkat usia kanak-kanak, remaja dan dewasa malah sehingga golongan berumur lebih dari 50 tahun.

Menurut laporan statistik terkini yang dikeluarkan syarikat Facebook, mereka kini mempunyai 350 juta pengguna aktif diseluruh dunia.

Dari jumlah itu, seramai 1.1 peratus atau 3.85 juta penggunanya adalah rakyat negara Malaysia dan sebilangan darinya adalah pengguna Islam.

Manakala lebih daripada 65 juta juta pengguna aktif  Facebook juga mengakses melalui peranti mobile mereka.

Facebook produk Yahudi?


Hukum penggunaan Facebook ini pernah menjadi pertikaian di kalangan pengguna Islam apabila terdapat maklumat yang mendedahkan pengasasnya, Mark Zuckerberg adalah seorang Yahudi sekaligus meletakkan bahawa ianya adalah produk bangsa itu.

Malah lebih berat lagi apabila maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya menyebut Mark Zuckerberg menggunakan perniagaan Facebooknya membiayai Israel menyerang umat Islam di Gaza, Palestin tersebar luas di kalangan pengguna Islam.

Polemik itu juga telah menyebabkan ada kumpulan tertentu melancarkan kempen boikot dengan menyeru orang Islam tidak lagi menggunakan jaringan Facebook kerana didakwa boleh membawa kepada haram akibat menguntungkan Yahudi.

Namun menjadi persoalan adakah betul jika pengharaman dibuat atas asas bahawa ianya hanya produk Yahudi?

Nabi Muhammad SAW diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu:

أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ

Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)

Ianya menjelaskan bagaimana Islam membenarkan umatnya membeli, menjual, menggunapakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi, selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal.

Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM.

Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.

Bila Facebook menjadi Haram

Hukum mengguna dan membuka akaun Facebook pada asasnya adalah 'Harus' atau dibenarkan selagi tidak melanggar batas syariat Islam.

Malah jika ia digunakan untuk kemaslahatan (kebaikan) Islam, maka ia menjadi sangat digalakkan.

Namun ianya boleh menjadi haram jika kemudahan jaringan sosial ini disalahguna bergantung kepada matlamat seseorang.

Facebook sepatutnya dijadikan sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, medan perbincangan, ruang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara berhemah.

Malangnya ada diantara kita membuka akaun Facebook hanya untuk suka-suka, betul-betul untuk 'bersosial' tanpa ada sebarang tujuan bermanafaat.

Apatah lagi, Facebook kini juga dilengkapi aplikasi 'third party' seperti kuiz dan permainan online.

Keasyikannya kadang-kadang mampu menjadikan pengguna itu ketagih dan hanyut dalam dunia sendiri sehingga melupakan dunia luar.

Maka tidak hairanlah jika kajian Facebook sendiri menyebut rata-rata penggunanya menghabiskan lebih dari 55 minit sehari mengadap laman ini.

Islam melihat mereka yang menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi yang melalaikan tanpa sebarang tujuan, boleh menjadi haram sama seperti pembabitannya dalam aktiviti kosong yang lain.

Malah lebih teruk lagi jika penggunaannya membuahkan fitnah menyebabkan institusi keluarga, masyarakat dan negara menjadi porak peranda.

Dalam satu kes yang berlaku 24 Januari 2009, seorang pemuda, Edward Richardson yang berasal dari London, dihukum penjara 18 tahun kerana membunuh isterinya Sarah, setelah mengetahui isterinya itu menukar status 'maried' kepada 'single' pada profile Facebooknya.

Beberapa kes lain juga berlaku termasuk dalam negara ini sehingga terdapat kes seseorang individu itu disiasat oleh pihak berkuasa kerana komen-komennya dalam blog yang berbaur hasutan dan ancaman yang didakwa boleh mewujudkan ketegangan.

Maka persoalan haram dan halal berhubung perkara ini wajar dipulangkan kepada pengguna masing-masing.

Hanya anda tahu bagaimana anda menggunkan kemudahan jaringan sosial ini sama ada memberikan banyak manfaat atau mudarat.

Tepuk dada tanya Iman..

Sumber:

Wednesday, January 13, 2010

Pilihan Raya Kampus: Pro-Mahasiswa tekad kuasai MPM


Menjelang Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi 09/10 yang dijangka penghujung Januari ini, kumpulan Pro-Mahasiswa kini mula serius menggerakkan jentera mereka dalam usaha memenangi kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) di kampus masing-masing.


Semalam kumpulan yang terdiri dari beberapa front mahasiswa itu melancarkan misi 'Mahasiswa Tawan Kampus' (MiSi-10) dalam satu majlis di Kompleks Perdana Siswa Gazebo Universiti Malaya.

MiSi-10 terdiri daripada gabungan beberapa front yang di ketuai oleh PRO-Mahasiswa bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM) , Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) , Skrikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (BANTAH).

Mereka juga turut disokong olek kumpulan Pro-Mahasiswa di 10 kampus utama seluruh negara.

Dalam satu kenyataan bersama mereka memberitahu, Pelancaran MiSi-10 sebagai isyarat awal mereka menuntut ruang pemilihan yang adil.



"Ini isyarat awal menunjukan bahawa keseriusan kami di peringkat mahasiswa untuk memastikan pilihan raya kampus yang akan berlansung dilaksanakan dalam satu ruang padang yang adil demi melahirkan kepimpinan mahasiswa yang berkualiti bagi membela nasib mahasiswa yang lain khasnya dan nasib rakyat Malaysia umumnya," kenyataan mereka dipetik.

Mereka juga turut mengemukakan beberapa tuntutan kepada pihak universiti melihat kepada beberapa kronologi kes yang berlaku sepanjang tahun 2009 yang didakwa mereka sebagai kongkongan terhadap demokrasi kampus.

Kes yang dijadikan rujukan termasuklah prosiding lapan mahasiswa UM yang disabitkan di bawah AUKU kerana menjemput ahli politik merasmikan program mahasiswa serta kes pendakwaan terhadap lima mahasiswa dalam kes conteng 'bini puaka' di dinding Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam APIUM.

Selain itu isu halangan penganjuran Forum E-Undi dan tuduhan mahasiswa UKM sebagai Pro-Israel juga ujar mereka suatu yang menghalang mahasiswa beridealisme.

"MiSi-10 melihat bahawa  isu-isu yang berlaku telah mencalarkan imej dan fungsi sebuah universiti yang seharusnya disuburkan dengan budaya dan suasana demokrasi yang memberikan keselesaan kepada mahasiswa untuk beridealisme dan melaksanakan aktiviti kemahasiswaan mereka sendiri," kata mereka lagi.

Sehubungan itu mereka menuntut pihak universiti bertindak telus dan adil pada PRK akan datang dengan membenarkan kehadiran pemantau bebas dari luar.

Ianya juga termasuk menghapuskan sistem pengundian elektronik (e-undi) pada PRK kali ini dan akan datang.

Selain itu mereka turut menggesa agar pihak universiti mengembalikan autonomi kampus khususnya hak mahasiswa untuk berhimpun, bersuara, berpersatuan dan kebebasan akademik.

Pihak universiti juga gesa mereka perlu menjaga keselamatan calon dan mahasiswa daripada ancaman pihak-pihak tertentu semasa proses pilihanraya berlangsung.-Harakahdaily.com

UKM: komplot pilihanraya kampus?



Kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) berasa curiga dengan pihak pentadbiran yang didakwanya “berkomplot” dengan kumpulan pro-Aspirasi sebelum berlangsungnya pilihan raya kampus di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Menurut sumber pelajar pro-M kampus tersebut, hal ini berlaku dua hari sebelum semua calon menghadiri kursus calon pilihan raya kampus di Puteri Resort, Air Keroh Melaka selama tiga hari bermula 1 Januari lalu.
Kursus tersebut – untuk calon pro-M dan pro-Aspirasi – adalah untuk mendapatkan sijil bagi layak bertanding dalam pilihan raya kampus yang akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, UKM dijangka mengadakan pilihan raya kampus pada 20 Januari ini, manakala penamaan calon seminggu sebelumnya..
Sumber tersebut mendakwa terdapat satu taklimat dirancang khusus untuk calon pro-Aspirasi pada hari Khamis – sehari sebelum semua calon dijadual bertolak ke Melaka. Taklimat itu dijadual diadakan di Kolej Keris Mas pada jam 9 malam.
“Kami (calon pro-M) membantah. Sekiranya taklimat itu untuk calon, kenapa kami tidak dipanggil,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Menurut sumber, pihaknya mengetahui tentang rancangan mengadakan taklimat itu berdasarkan pengakuan beberapa calon pro-Aspirasi mengenainya.
Ekoran bantahan tersebut, kata sumber itu, majlis taklimat berkenaan telah dibatalkan.
Katanya, mereka juga turut curiga dengan ketidakhadiran enam orang calon dalam kursus calon yang dianjurkan oleh pihak pentadbiran universiti terbabit di Melaka.
Sumber itu juga mempertikaikan tindak-tanduk empat calon yang tidak hadir sesi hari pertama, tetapi dibenarkan mengikuti kursus itu pada malam Sabtu dan hari berikutnya.
Katanya, mereka – yang didakwanya calon pro-Aspirasi – sepatutnya mengikuti sepenuhnya kursus tersebut selama tiga hari, mulai petang Jumaat.
“Kita khuatir, mereka akan diberikan sijil, dan layak bertanding sedangkan syarat untuk calon bertanding adalah mengikuti kursus ini dengan jayanya,” katanya
Sijil tersebut akan dikeluarkan seminggu selepas kursus itu yang berakhir semalam.
Sumber itu mendakwa empat calon tersebut didapati menghilangkan diri selepas mendaftar pada hari pertama kursus tersebut.
Bagaimanapun, katanya, keempat-empat calon tersebut muncul semula pada malam Sabtu.
“Tak pasti mereka ke mana… Adakah mereka ini layak bertanding?” soal sumber.
Sumber berkata, kursus tersebut sepatutnya dihadiri 172 calon, tetapi hanya pada hari pertama, hanya 166 yang mengikutinya, manakala empat lagi hadir keesokannya.
Katanya, beliau juga tidak mengetahui ke manakah baki dua lagi calon yang tidak hadir itu.
SabahDaily.com

UiTM Welcomes Sahol Hamid as New Vice-Chancellor



Dato’ Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar has been appointed the new Vice-Chancellor of Universiti Teknologi MARA as of 1st January 2010. Sahol Hamid Abu Bakar has had a long and diverse career in higher education, serving as a faculty member and administrator. His wealth of experience and track record within the sector has no doubt played a key role in his appointment. 

A professor of Civil Engineering, he has devoted over 3 decades to service  in UiTM and has both a strong academic reputation as well as expertise in taking organizations through periods of growth.

Amongst others, his expertise has resulted in his appointment to foreign university professorships, among them being, as Professor of Civil Engineering at the University of Stuttgart, Germany and Visiting Scholar at the Purdue University, USA.

Prior to his current appointment, Sahol Hamid lead the Programme Management Office, Ministry of Higher Education and was vigorously involved in the transformation of Malaysian universities


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails