Showing posts with label Sajak Abuya. Show all posts
Showing posts with label Sajak Abuya. Show all posts

Saturday, February 26, 2011

Allah Cinta Agung:Zat yang Maha Suci



BAGAIMANALAH aku hendak melupakan
Zat Yang Maha Suci
Yang kuasa-Nya tidak pernah satu detik terlepas dariku
Yang sentiasa mengetahui berterusan
setiap gerakan jantungku
Ia sentiasa melihat hingga ke batinku
Sentiasa mendengar setiap waktu dan detik
Kehendak-kehendak-Nya ke atasku pasti berlaku
Sama ada aku setuju mahupun tidak setuju
Menggembirakan mahupun yang mendukacitakan
Ia Maha Agung, Maha Qahhar dan Maha Jabbar
Juga kasih sayangnya kepadaku lebih daripada
seorang ibu yang kasih kepada anak-anaknya
Seluruh hidupku di dalam genggaman-Nya
Ia boleh buat apa sahaja kepadaku
Kuasa-Nya ke atasku sepenuhnya
Tidak ada langsung campur tanganku ke atas diriku sendiri
Itulah Tuhan Pencipta seluruh alam dan yang menjadikan aku
Ia adalah Penyelamat
Pentadbir, Penjaga, Pendidik dan Pemelihara
Dengan penuh berhikmah
Oleh itu bagaimana aku mahu melupakan-Nya
Sedangkan Dia tidak akan melupakanku
Walau setakat sekelip mata
Aduh, tidak mungkin aku boleh melupakan-Nya
Tidak mampu aku untuk melupakan-Nya
Itulah Dia Tuhanku
Aku tidak boleh terlepas daripada kuasa-Nya


Selepas Zuhur
07 - 10 - 1999

Saturday, February 19, 2011

AKU TIDAK PERNAH TENANG DENGAN DOSAKU


Aku Tidak Pernah Tenang Dengan Dosa

 Aku sedih kerana aku di dalam sindrom diburu dosa
Bangun-bangun tidur sahaja teringat dosa
Di dalam bilik air terasa berdosa
Bahkan lepas ibadah sembahyang pun terasa membuat dosa

Membuat dosa di dalam sembahyang
Selepas bercakap terasa membuat dosa, terasa saya mengada-ngada
Apatah lagi apabila membuat dosa, memanglah nyata sekali membuat dosa
lebih-lebih lagi sangat sedihnya

Apabila terkenang di waktu baligh hingga ke hari ini memanglah di dalam dosa
Lagi-lagilah menghantui fikiran dan perasaanku hingga ke tua
Kadang-kadang sering terasa sudah terjebak dengan syirik

Syirik yang sangat aku takuti
Lebih-lebih lagilah susahnya hati ini
Menggelodak tidak menentu
Maka syahadah pun diucap berulang-ulang kali

Begitulah gelombang hatiku setiap hari
Rasa tenang dengan dosa tidak akan berlaku
Dikocak selalu oleh  rasa berdosa
Hatiku sangat terganggu, orang lain tidak tahu
Begitulah aku ini sentiasa diburu oleh dosa


Wednesday, January 12, 2011

Ciri-ciri Pemimpin Sejati


Pemimpin sejati itu sangat disayangi oleh pengikut-pengikutnya
Tapi dia sangat didengki oleh orang yang berpenyakit hati
Terutama para pemimpin yang tidak disayangi oleh pengikut-pengikutnya
Kerana iri hati, kerana tercabar dia tidak dapat kasih sayang itu dari pengikut-pengikutnya
Maka dituduhlah jangan fanatik dengan pemimpin
Fanatik dengan pemimpin itu amat bahaya.....
Pemimpin akan menyalahgunakan pengikut-pengikutnya untuk kepentingan diri
Begitulah di antara tuduhan kepada pemimpin sejati
Pemimpin sejati itu di tengah-tengah pengikutnya, pengikut merasakan senang dan bahagia
Berpisah dengannya dirasa satu kekosongan
Bersama pemimpin terasa....., berpisah dengannya terasa kehilangan
Bersama pemimpin rasa tidak mahu berpisah
Berpisah dengan pemimpin terasa rindu
Pemimpin sejati itu lebih diperlukan daripada seorang ayah dan ibu
Bersama pemimpin terasa kuat
Berpisah daripadanya terasa lesu
Mendapat pemimpin sejati itu, bagaikan dapat ayah, ibu, pemimpin, kawan dan guru
Bagaimanalah hendak mendapatkan pemimpin di akhir zaman ini semacam itu
Kebanyakan di akhir zaman adalah pemimpin-pemimpin yang palsu  
Kerana itulah ketaatan pengikut tidak padu 

Friday, May 14, 2010

Tribute untuk Abuya Ashaari Muhammad At-Tamimi




Aku ucapkan selamat tinggal kepada kalian
Dahulu kita bersama menuju satu tujuan
Bila ujian datang kalian lari bertempiaran
Kalian bertukar haluan
Bahkan tidak menentu haluan
Begitulah hikmah ujian dari Pencipta alam

Dengan ujian, pura-pura dan kepuraan tidak boleh lagi berlaku di dalam perjuangan
Kini segala-galanya terserlah, tersingkap dan terdedah isi hati yang mazmumah
Indahnya ujian tapi jangan dipinta
Ia memisahkan yang soleh dengan yang toleh
Ia membezakan yang berjuang dan yang mengambil peluang
Dengan ujian kita telah kenal diri masing-masing siapa kita

Aku tetap aku yang dahulu hinggalah sekarang
Kebenaran yang aku pegang moga-moga sampai ke hujung jalan
Aku tetap aku yang dahulu hinggalah sekarang
Kebenaran yang aku pegang moga-moga sampai ke hujung jalan
Kalian carilah jalan, buatlah pilihan
Perjuangkanlah keyakinanmu katanya engkau telah dipulihkan
Insya-Allah aku akan terus berjuang
Bersama kawan-kawan selama ada nyawa di badan
Selamat tinggal kalian semua, selamat jalan

Aku tetap sebagai aku dahulu dan sekarang
Aku tetap akan meneruskan perjuangan hingga ke hujung jalan

Nukilan: Abuya Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi

Monday, April 26, 2010

Merajuk Menjadi Budaya



Merajuk telah menjadi budaya manusia
Budaya yang sama-sama manusia tidak mahu
Tapi sama-sama membudayakannya
Budaya merajuk itulah yang menyusahkan manusia
Yang menjadi racun di dalam keluarga
Dan di dalam pergaulan mereka

Banyak kerja terhalang, tidak kurang kerja terbengkalai dibuatnya
Banyak kerja tidak sempurna
Diganggu oleh budaya merajuk
Buat itu tak kena, buat ini tak kena
Serba terganggu
Merajuk menghantui perasaannya
Setengah jiwa yang terlalu lemah, jiwanya merana
Budaya merajuk ini berlaku setiap hari
Di dalam rumahtangga, di tempat kerja, di dalam parti
Di rumah Allah berlaku juga
Tidak ada akta dan peraturan yang boleh membendungnya
Justerulah akta dan undang-undang tidak dilagang

Penyakit merajuk ini dia serang tidak pilih orang
Semua golongan kena serang
Budaya merajuk ini mudah saja terjadi
Suami lambat balik pun isteri masam muka
Hilang manisnya
Layanan kepada suami pun dingin aja
Belum lagi suami kahwin dua
Merasakan diri tidak dihormati, pertengkaran pun terjadi
Adakalanya sampai mati
Suami pula terpelengok
Merajuk sakit hati
Bertindakbalas terhadap isteri

Ibu bapa pun selalu merajuk
Tersinggung oleh anak-anak yang berbagai kerenah
Anak-anak lambat ziarah
Atau lambat menerima suarat atau memberi pendapat
Tidak senang aja
Marah-marah aja
Merungut-rungut dan membebel tidak tentu  hala
Apabila anak-anak balik kerut mukanya
Bila ditanya diam sahaja
Atau menyergah macam singa

Di pejabat-pejabat ada staf-staf merungut tidak habis-habis
Merasakan tertekan oleh majikan, kerana terlalu banyak kerja
Atau gaji tidak seimbang dengan kerja
Majikan tidak dihormati lagi
Di belakang dikata-kata dan dihina
Ada yang terus lari dari kerja
Majikan pula susah hati
Merajuk pula, marah-marah aja kepada staf-stafnya
Adakalanya nafsu tidak boleh kontrol
Maki hamun semahu-mahunya

Merajuk juga berlaku di dalam parti
Setelah jatuh dari jawatan parti oleh undi
Tenaga dan pengorbanan dibekukan
Kalau dulu aktif, sekarang pasif
Dahulu cergas, sekarang culas
Tidak terlantik di dalam pencalonan
Atau digugur di dalam jawatan parti atau pemerintahan
Hati sakit, merajuk pula
Muka pun tidak nampak lagi, membawa diri
Entah mana perginya, kalau mati ada kuburnya
Bila mati barulah media massa membuat berita
Setelah lama hilang dari gelanggang masyarakatnya

Di masjid pun berlaku budaya merajuk
Waktu jadi imam, di masjid setiap waktu
Macam merpati masjid
Tidak lekang-lekang di masjid, macam rumahnya
Bila jawatan diganti orang, masjid tidak nampak lagi
Bahkan waktu sembahyang pun dia tidak muncul-muncul lagi
Hanya kelihatan pada hari Jumaat
Itupun duduk di tepi-tepi
Mukanya masam tidak berseri
Habis sahaja sembahyang tidak sempat sembahyang sunat
Cepat-cepat cabut pergi
Orang ramai hairan semua memerhati
Imam pun boleh berlaku, kata setiap hati

Tuesday, March 9, 2010

Rintihanku: BILAKAH BANGSAKU HENDAK BERSATU





Wahai BANGSAKU, bangsa MELAYU bilakah kita hendak bersatu
Sudah lama kita merdeka belum lagi berlaku perpaduan Melayu
Kata-mengata di antara parti Melayu dengan parti Melayu begitu maju
Tuduh-menuduh, fitnah-menfitnah, hina-menghina sering berlaku
Rupanya atas nama bangsa jangan mimpilah hendak bersatu
Kerana bersatu dan berpadu itu ada anak kuncinya
Bangsa bukan anak kunci perpaduan, sekalipun orang Melayu

Wahai bangsaku bangsa Melayu!
Atas nama bangsa rupanya kita tidak boleh bersatu, janganlah menipu diri,
kita BELUM BERSATU
Tapi kita ada AGAMA, agama kita satu iaitu agama ISLAM dari Tuhan yang satu
Islam boleh mempersatukan kita jika Tuhan sama-sama kita takuti dan cintai
Jika Tuhan tempat rujuk kita, orang Melayu boleh bersatu-padu

Malangnya kita hampir-hampir sudah meninggalkan agama
Agama kita ambil hanya sekerat-sekerat sahaja
Kita ambil agama di sekitar ibadahnya semata-mata
Satu aspek daripada ajaran Tuhan kita
Itu pun Tuhan sudah tidak diambil kira

Ibadah pun bukan kerana keredhaan dan kecintaan kepada Tuhan
Ibadah hanya hendak cari pahala dan takutkan Neraka
Ibadah bukan hendak mencari Tuhan, tapi hendak mencari fadhilat
Maka konsep ibadah pun sudah dipesongkan oleh umat dan bangsa Melayu
Ibadah yang sudah kehilangan Tuhan tidak boleh mempersatukan kita orang Melayu

Anak kunci kasih sayang dan perpaduan adalah Tuhan
Jika Tuhan ditakuti dan dicintai itulah dia rahsia anak kunci perpaduan Melayu
Selama ini kita orang Melayu tercari-cari anak kunci perpaduan
Anak kuncinya adalah Tuhan, janganlah cari selain Tuhan akan menambah perpecahan Mari kita promosi semula Tuhan
Hingga Tuhan ditakuti dan dicintai
Tuhan adalah anak kunci kasih sayang dan perpaduan
Tidak ada anak kunci kasih sayang dan perpaduan selain Tuhan 


Saturday, February 27, 2010

AKU CUBA MENCINTAIMU




Aku cuba mencintaiMu Tuhan
Tapi tidak juga terasa
Aku cuba berkali-kali pun tidak terasa apa-apa
Aku fikir-fikirkan nikmat-nikmatMu
Aku kenang-kenangkan rahmatMu
Agar nampak kemurahanMu
Atas nama Tuhan aku akur
Namun aku belum juga jatuh hati denganMu
Aku susah hati, aku sedih selalu
Mengapa terjadi begini
Mengapa cintaku padaMu belum berbunga lagi
Sedangkan aku tahu
aku akui nikmatMu terlalu banyak padaku
Kalau hendak dihitung tidak mungkin dihitung
Walaupun melalui komputer

Aku iri hati selalu
Cerita dan berita orang soleh zaman dahulu
Hebatnya cinta mereka padaMu
Hilang selera makan keranaMu
Asyik memuja dan memujiMu
Mensucikan dan membesarkanMu
Terutama di waktu malam yang sepi,
di waktu orang mimpi
Mereka memujaMu, merintih padaMu
Mengharap kasih sayang padaMu
Air mata mereka membasahi pipi
Ada kala menitis ke bumi

Mereka merasai Engkau adalah segala-galanya
Engkau adalah hidup mati mereka
Engkau adalah di bibir mereka
Engkau adalah hati jantung mereka
Tapi aku tidak begitu
Aduh kerasnya hatiku
Hingga ini aku belum mencintai kekasih
agungku
Baru aku sedar cinta padaMu adalah anugerah
dan hidayahMu
Bertuahlah dan berbahagialah orang yang  Engkau
anugerahkan kecintaan kepadaMu
Aku bilakah lagi Tuhan ?
Dapat sedikit pun jadilah !
Aku tidak putus asa
Aku cuba lagi selagi ada nyawa di badan
Di ujung hidupku pun
Kalau dapat sudah cukuplah wahai Tuhan
Al Hannan wal mannan



Friday, February 26, 2010

Perutusan MauliduRasul 1431H


Kedatangan Muhammad Rasulullah, membawa rahmat kepada alam

yang sangat diperlukan oleh manusia
Rahmatnya yang paling besar, Allah Taala dikenali orang, dicintai, ditakuti,
disembah, disucikan, diagungkan
Itulah nikmat yang tidak ada tandingannya buat manusia
Dari Tuhan yang dicintai dan ditakuti lahirlah buah-buah kehidupan yang indah
yang berlaku dengan banyaknya
Di antara yang penting dan yang dikehendaki oleh manusia bersama
tidak kira apa bangsa atau agamanya ialah:
Manusia berkasih sayang sesama mereka , rasa bersama, bekerjasama
dan bertimbang rasa di dalam kehidupan mereka
Dari sini lahir buah-buahnya lagi yang bercambah terlalu banyaknya  
di dalam kehidupan manusia
Yang kaya menolong, yang miskin sabar dan tidak meminta-minta, yang bersalah meminta maaf, yang tidak bersalah memberi maaf
Orang-orang besar, para ulamak, guru-guru, ibu bapa dihormati
dan dimuliakan menjadi budaya dunia
Golongan bawahan disayangi, diberi simpati, diperhati, diambil peduli    
Dari sini lahir pula lagi buah mahmudah di dalam buah-buah mahmudah
yang sudah sedia ada

Ia beranak-anak kepada sifat-sifat yang positif yang terlalu banyaknya,
merata berlaku di mana-mana sahaja
Ini sangat menguntungkan kepada kepentingan kehidupan manusia,
yang memang diperlukan oleh manusia sejagat
Yang demikian jenayah terlalu kurang di kalangan manusia, pergaduhan tidak ada, pembunuhan apatah lagi, tidak ada jatuh-menjatuhkan
Otomatik hasad dengki hilang
Tidak ada pencurian, penipuan, rasuah, penzaliman, penindasan, pengkhianatan
Tidak ada penzinaan, perogolan, menjatuhkan maruah, menghina,
benci-membenci sesama manusia
Oleh yang demikian lahir lagi buah-buah mahmudah di dalam kehidupan
yang diperlukan yang terlalu banyaknya di dalam kehidupan insan
Yang sangat menguntungkan manusia seluruhnya di dalam kehidupan
Iaitu dunia aman, damai, selamat, tenang dan tidak ada yang menakutkan
Hiduplah manusia di dalam kebahagiaan, kasih sayang, persaudaraan dan keharmonian
Sungguh besar jasanya kedatangan Rasulullah ke dunia kepada manusia sejagat
Mengalirnya rahmat Tuhan melalui perjuangannya ke dalam kehidupan manusia yang orang Islam mahu, mahupun yang bukan Islam mahu di dunia ini
Dunia hari ini perlukan Muhammad kedua sekalipun bukan Rasul
Pemimpin yang membawa watak dan sifat Rasul,
membawa rahmat dari Tuhan ke dunia di dalam perjuangannya
Untuk keperluan manusia sejagat tidak kira bangsa dan anutan agamanya
Hari ini manusia hidup di dalam Neraka dunia
Di dalam masa saya menulis ini Amerika membakar dunia
Manusia sejagat hidup di dalam kelesuan, ketakutan, kesempitan, kecemasan, kecewa, setengah mereka putus asa

Tuhan! Datangkanlah segera pemimpin yang Engkau tunjuk
Yang membawa rahmat kepada manusia sejagat
Yang membawa watak, sifat dan sikap Rasul di dalam kehidupan bangsa di dunia  

Monday, November 30, 2009

SajaK: Carilah redha Tuhan




Carilah redha Tuhan, kita tidak akan kecewa
Carilah redha Tuhan, kita akan tenang
Janganlah cari redha manusia, kita akan kecewa
Suka manusia kepada kita bukan berpanjangan
Adakalanya dia suka kepada kita, sukanya pura-pura
Suatu hari nanti akan nyata juga


Adakalanya redhanya kepada kita di waktu kita senang
Setelah kita susah, kita dibuang dan ditendang
Janganlah membuat sesuatu kerana keredhaan manusia
Kerana manusia ramai yang tidak mengenang jasa


Buatlah sesuatu untuk keredhaan Tuhan
Manusia suka atau benci tak usah dipedulikan
Yang penting kita buat itu Tuhan suka
Yang penting usaha kita itu Tuhan redha
Dengan manusia tak usah ambil kira
Manusia hendak puji atau manusia hendak caci
Itu soal dia


Yang penting apa kata Tuhan
Keredhaan Tuhan itu penting
RedhaNya adalah balasan
Balasan-Nya adalah berkekalan
Carilah keredhaan Tuhan,  hati senang, hati tenang

Sajak: Perlunya Rasa BerTuhan



Marilah kita rasakan Tuhan itu Pelindung
Marilah kita rasakan Tuhan itu Penjaga
Marilah kita merasakan Tuhan itu Pengawal
Marilah kita merasakan Tuhan itu Pembela
Marilah kita merasakan Tuhan itu Penyelamat
Marilah kita merasakan Tuhan itu segala-galanya

Rasa-rasa ini mendorong kita cinta kepada Tuhan

Rasa-rasa ini menjadikan kita takut kepada-Nya
 Rasa-rasa ini membawa kita malu kepada-Nya
Rasa-rasa ini mendorong kita merasa kuat dengan-Nya


Juga rasa-rasa ini mendorong kita menjadi berani yang tiada taranya
Kerana Pelindung dan Pembela kita itu Maha Gagah dan Berkuasa
Maha Berkehendak dan kehendak-kehendak-Nya tidak boleh siapa menolaknya


Siapa yang merasa seperti yang dikatakan, waktu seorang terasa ramai
Di waktu ramai, bertambah lagi dirasakan ramai
RasasasasasasRasa-rasa inilah, kita pandang makhluk ini tiada kuasa apa-apa

Walau bagaimana besar kuasa dan pangkatnya
Kita akan merasa semuanya ini sama sahaja dengan kita
Tidak ada mempunyai apa-apa kuasa dan daya
Di hadapan Tuhan sama sahaja
Barulah kita berani dan tegas menegakkan kalimah Allah
Di sinilah perlunnya kita merasakan berTuhan

Sunday, November 22, 2009

Jemaah Haji Aset Berharga



Sepatutnya kembalinya jemaah haji merupakan aset yang berharga
Aset agama, bangsa dan negara
Membawa pengalaman, membawa hikmah, membawa akhlak yang mulia
Dengan aset itu akan dibangunkan agama, bangsa dan negara

Aset yang dimaksudkan pulangnya tenaga manusia yang berjiwa pengorbanan
Yang bersemangat juang, sabar dan tabah dibawa dari sana
Hikmah seluruh rukun Islam yang dimilikinya
Hidup matinya, seluruh tenaganya untuk membina segala yang diredhai Tuhannya

Begitulah sepatutnya bertambah tenaga di dalam negara
Setiap kembalinya jemaah membawa apa yang telah dikata
Dari tahun ke tahun tenaga yang berguna bertambah banyaknya
Kesan dari praktis haji yang besar hikmahnya

Tapi malang sekali apa ang sepatutnya berlaku sebaliknya
Tenaga manusia yang diharapkan pulang biasa sahaja
Tenaga lahir batin yang diharapkan dari hikmah haji tidak dimilikinya
Ramai yang naik haji tidak ada apa-apa ertinya


Di sinilah membuktikan kebanyakan mereka membawa haji mardud
Tidak ada apa-apa hasil kecuali menghabiskan duit membuang masa
Kesan dari haji yang membawa manfaat tiada
Sulit sekali mendapat keampunan Allah seperti baru lahir dari ibunya

Ole-Ole Dari Haji


Balik dari Mekah jangan hanya tamar dan zam-zam yang dibawa pulang
Lebih-lebih lagi tidak igal dan barang-barang mahal yang dibawa pulang
Bukan itu semua yang penting dibawa pulang
Tapi pengajaran dan hikmah yang patut dibawa dari sana


Ole-ole dari haji bukan bersifat material yang dibawa pulang
Tapi yang bersifat maknawiyah dan rohaniah yang lebih penting

Pengalaman yang luas, akhlak yang tinggi di dalam diri
Itulah dia buah haji yang mabrur lagi sejati


Buanglah perangai buruk, gantilah dengan perangai mulia
Tanamkanlah keinsafan di dalam diri dengan agama
Jadikanlah agama hidup mati kita
Sesuai dengan semangat haji kemuncak rukun Islam yang lima


Kebanyakan jemaah haji pulang ke tanah air tidak berubah
Sifat-sifat mazmumah yang lama masih dibawa pulang
Perjuangan tidak wujud, pengorbanan tidak bertambah
Yang bertambah cinta dunia, gila pangkat, suka glamour


Kalau itulah yang dibawa, tanda haji yang dibuat tidak berbuah
Mengikut kitab haji bagi yang tidak mengubah perangai, namanya haji mardud
Terbuanglah masa, habislah duit habislah duit, sia-sia tenaga
Yang dapat hanya susah payah, letih badan, pahala tiada, berdosa pula


Tuesday, August 18, 2009

Madah:Promosikan TUHAN...



PROMOSIKAN TUHAN

1. Tuhan Ada. Ada di mana-mana. Tapi tiada di sana. Dia tempat kita meminta-minta apa saja.

2. Baiknya Tuhan ciptakan bumi untuk kita.

3. Anda ada masalah kewangan? Bank Tuhan boleh selesai segala-galanya.

4. Mahaguru paling bijak ialah Tuhan. Belajarlah dengan Dia. Anda akan jadi secerdik-cerdik manusia.

5. Tuhan itu doktor Maha Pakar. Pada-Nya ada segala-gala ubat untuk semua penyakit. Ruginya orang yang tidak merawat dengan-Nya.

6. Manusia selalu kecewa dalam bercinta. Kerana tersalah memberi cinta. Berilah cinta agung pada Tuhan, nescaya tidak akan kecewa selamanya.

7. Kawan paling setia yang mampu menjaga kita setiap masa sebenarnya adalah Tuhan kita!

8. Anda ada masalah rumahtangga? Selesaikanlah dengan jalan takut dan cintakan Tuhan.

9. Manusia tidak akan renti-renti bergaduh, sehinggalah mereka ambil Tuhan jadi pemimpin.

10. Jangan cuba lari dari Tuhan, akan ditimpa padah. Tapi larilah kepada Tuhan, nescaya bahagia.

11. Sama-sama cinta dunia, akan berebut, berbalah. Tapi sama-sama cinta Tuhan, tiada rebutan dan perbalahan.

12. Jika ingin miliki segala-galanya milikilah Tuhan, Tuhan adalah segalanya. Segalanya tanpa Tuhan tiada erti apa-apa.

13. Cinta Tuhan cinta sejati, cinta agung! Cinta makhluk cinta murahan.

14. Siapa cinta Tuhan pasti sayangkan manusia barulah boleh bekerjasama.

15. Hambakanlah diri hanya kepada Tuhan. Tidak layak dihambakan pada selain-Nya. Buktinya kita marah dituduh hamba syaitan. Tapi tidak marah bila dikatakan hamba Tuhan.

16. Kita amat perlukan pentadbir, pendidik, pengawal, penjaga dan penyelamat. Dia adalah Tuhan pencipta kita.

17. Tuhan adalah tempat rujuk. Tiada tempat rujuk yang lebih dari Tuhan. Dia boleh selesaikan semua masalah dunia

18. Ramai orang percaya Tuhan, tapi tidak dipedulikan, seolah-olah Tuhan tidak ada.

19. Aneh manusia, tahu Tuhan yang beri rezeki tapi tidak pun takut dan cinta pada-Nya.

20. Kalau kita yakin dunia Tuhan punya, tentu kita tidak sanggup berbuat sesuka hati, sebab malu pada-Nya.

21. Kasih sayang sesama manusia akan punah bila Tuhan tidak dicintai.

22. Manusia kalau kenallah Tuhannya pasti akan mabuk cinta pada-Nya.

23. Hebatnya Tuhan apa pun Dia buat hanya dengan berkata, “Jadi!” Maka jadilah hal itu. Sebab itu Dia boleh buat apa saja.

24. Tuhan bila murka, akan bertindak tanpa kira raja, orang besar, atau orang kaya.

25. Kita tinggal di bumi Tuhan, sepatutnya minta izinlah kepada-Nya bila mahu buat sesuatu.

26. Mengapa Tuhan suruh takut pada-Nya? Sebab takut itu benteng maksiat.

27. Sombong pakaian Tuhan, siapa pakai pakaian-Nya binasalah dia.

28. Tuhan itu Maha Lemah Lembut tapi amat keras terhadap orang yang berleluasa.

29. Kalau kita buat dosa, jangan senang-senang hati saja sebab lambat laun Tuhan pasti menghukumnya.

30. Tuhan modal hidup kita yang paling utama, mari kita promosi Dia ke seluruh dunia!

Saturday, August 1, 2009

Merdeka ka Kita?



Merdeka bukan ertinya boleh buat apa sahaja

Dengan tidak memikirkan halal dan haramnya

Merdeka bukan bermakna membina dan mencetuskan apa sahaja

Dengan tidak memikirkan pantang-larang Tuhannya

Merdeka bukan ertinya boleh melakukan apa sahaja yang dikehendak oleh nafsu

Dengan tidak memikirkan syariat Tuhannya

Merdeka bukan ertinya bebas tanpa batas

Merdeka kita bebas dari penjajah

Tapi tidak bebas di dalam semua hal dengan Tuhannya

Tiadanya penjajah kita bebas memilih identiti kita sendiri

Kita bebas untuk rujuk kepada Tuhan

Kita bebas memilih cara hidup Sunnah Nabi

Kalau bebas membuat apa sahaja

Ertinya manusia yang telah hilang kemanusiaannya

Nafsu telah bermaharajalela, syaitan telah menjadi kawan

Apa akan jadi kepada dunia

Kalau manusia berperangai syaitan dan haiwan

Wednesday, July 8, 2009

Aku Cuba Mencintai Mu Tuhan



Aku coba mencintaiMu Tuhan

Tapi tidak juga terasa

Aku coba berkali-kali pun tidak terasa apa-apa

Aku fikir-fikirkan nikmat-nikmatMu

Aku kenang-kenangkan rahmatMu

Agar nampak kemurahanMu

Atas nama Tuhan aku akur

Namun aku belum juga jatuh hati denganMu

Aku susah hati, aku sedih selalu

Mengapa terjadi begini

Mengapa cintaku padaMu belum berbunga lagi

Sedangkan aku tahu

aku akui nikmatMu terlalu banyak padaku

Kalau hendak dihitung tidak mungkin dihitung

Walaupun melalui komputer

Aku iri hati selalu

Cerita dan berita orang soleh zaman dahulu

Hebatnya cinta mereka padaMu

Hilang selera makan keranaMu

Asyik memuja dan memujiMu

Mensucikan dan membesarkanMu

Terutama di waktu malam yang sepi,

di waktu orang mimpi

Mereka memujaMu, merintih padaMu

Mengharap kasih sayang padaMu

Air mata mereka membasahi pipi

Ada kala menitis ke bumi

Mereka merasai Engkau adalah segala-galanya

Engkau adalah hidup mati mereka

Engkau adalah di bibir mereka

Engkau adalah hati jantung mereka

Tapi aku tidak begitu

Aduh kerasnya hatiku

Hingga ini aku belum mencintai kekasih

agungku

Baru aku sedar cinta padaMu adalah anugerah

dan hidayahMu

Bertuahlah dan berbahagialah orang yang Engkau

anugerahkan kecintaan kepadaMu

Aku bilakah lagi Tuhan ?

Dapat sedikit pun jadilah !

Aku tidak putus asa

Aku coba lagi selagi ada nyawa di badan

Di ujung hidupku pun

Kalau dapat sudah cukuplah wahai Tuhan

Al Hannan wal mannan

Thursday, June 25, 2009

Engkau Ingin Bejuang


Engkau ingin berjuang, tapi tidak mampu menerima ujian

Engkau ingin berjuang, tapi engkau rosak oleh pujian

Engkau ingin berjuang, tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan

Engkau ingin berjuang, tapi tidak begitu setia dengan kawan

Engkau ingin berjuang, tapi tidak sanggup berkorban

Engkau ingin berjuang, tapi ingin jadi pemimpin

Engkau ingin berjuang, menjadi pengikut agak segan

Engkau ingin berjuang, tolak ansur engkau tidak amalkan

Engkau ingin berjuang, tapi tidak sanggup menerima cabaran

Engkau ingin berjuang, kesihatan dan kerehatan tidak sanggup engkau korbankan

Engkau ingin berjuang, masa tidak sanggup engkau luangkan

Engkau ingin berjuang, kerenah isteri engkau tidak tahan

Engkau ingin berjuang, rumahtangga lintang-pukang

Engkau ingin berjuang, diri engkau tidak engkau tingkatkan

Engkau ingin berjuang, disiplin diri engkau abaikan

Engkau ingin berjuang, janji kurang engkau tunaikan

Engkau ingin berjuang, kasih sayang engkau cuaikan

Engkau ingin berjuang, tetamu engkau abaikan

Engkau ingin berjuang, anak isteri engkau lupakan

Engkau ingin berjuang, ilmu berjuang engkau tinggalkan

Engkau ingin berjuang, kekasaran dan kekerasan engkau amalkan

Engkau ingin berjuang, pandangan engkau tidak diselaraskan

Engkau ingin berjuang, rasa bertuhan engkau abaikan

Engkau ingin berjuang, iman dan taqwa engkau lupakan

Yang sebenarnya apa yang engkau hendak perjuangkan?

Saturday, April 25, 2009

Mencari Keredhaan Tuhan

Mencari Keredhaan Tuhan

Marilah kita berusaha mencari harta benda dunia untuk Tuhan

Di sini ada pahala, di sini juga ada kemajuan, di sini ada keredhaan Tuhan, di sini juga ada jalinan kasih sayang sesama insan

Ia bukan untuk dicinta, ia untuk ditadbir dan diagih-agihkan sesama insan

untuk kasih sayang sesama

Dari kasih sayang lahirlah perpaduan sesama insan

Apabila diagih-agihkan untuk keperluan manusia kerana Tuhan, di situ ada pahala

Apabila diagih-agihkan untuk kepentingan manusia, menjelmalah kemajuan bersama

Kerana agihan itu ada tujuan kerana Tuhan, keredhaan Tuhan pun datang

Agihan itu juga menjalinkan kasih sayang sesama manusia atau insan

Sungguh indahnya hidup bersama harta kerana Tuhan

Sekiranya ia ditadbir dengan bijaksana

Faedahnya begitu global, mencakup dunia dan Akhirat

Dapat pahala, dapat keredhaan Tuhan, dapat kemajuan,

dapat jalinkan kasih sayang sesama insan

Hilanglah hasad dengki, hilanglah iri hati, hilang benci-membenci, hilanglah permusuhan

Hari ini yang terjadi kerana harta datang hasad dengki menyerang

Kerana harta datang berebut-rebutan, pecah ukhwah, retak perpaduan

Pecah-belah keluarga, renggang persaudaraan, hilang kasih sayang sesama hamba Tuhan

Kerana harta tercetus permusuhan, datang perbalahan, berlakulah pergaduhan

Jadikanlah harta untuk keredhaan Tuhan, jadikanlah harta untuk kasih sayang

Jadikanlah harta untuk kemajuan, jadikanlah harta untuk kepentingan bersama

Dunia aman, damai, hidup rasa bersama, bahagia dan harmoni

Sungguh indah hidup bersama dunia untuk Tuhan, ia selamat menyelamatkan

Rahsianya adalah cintakan Tuhan, maka dunia ini akan dapat diagih-agihkan

sesama insan

Sunday, March 29, 2009

Marilah kita perjuangkan kasih sayang!


Wahai saudara-saudari tuan dan puan sekelian
Marilah kita perjuangkan kasih sayang keperluan manusia bersama
Kasih sayang membawa perpaduan, rasa bersama dan bekerjasama
Kita perjuangkan di mana saja kita berada
Marilah kita perjuangkan kasih sayang
Kasih sayang membawa perpaduan dan kesatuan
Hari ini kasih sayang sudah gersang
Bahkan kasih sayang di mana-mana sudah hilang
Anak kunci kasih sayang adalah cintakan Tuhan
Kerana Tuhan itu adalah cinta Maha Agung
Marilah kita cintakan Tuhan Rabbul insan
Nanti cintakan sesama manusia akan berbunga
Tuan dan puan ingatlah perjuangan politik membawa pecah-belah
Membawa perbalahan, permusuhan dan peperangan
Memperjuangkan ekonomi mendorong manusia mementingkan diri
Ekonomi selalunya kawan sendiri pun dikhianati
Manusia hari ini telah menderita dan terseksa
Akibat tidak ada kasih sayang sesama manusia
Apabila kasih sayang telah hilang
Lahirlah hasad dengki, prejudis, pergaduhan dan peperangan
Marilah kita perjuangkan kasih sayang!

Saturday, March 28, 2009

Bila Tuhan menjadi cinta agung

Bilakah masa akan berlakunya insan menjadikan Tuhan cinta agungnya
Kesan dari itu manusia akan mencintai sesama manusia
Alangkah indahnya hidup ini jika berlaku di dalam hidup ini
Pemimpin itulah ayah, ibu, guru dan kawan setia
Bertambah lagilah indah jika berlaku di dalam masyarakat
Orang miskin berebut-rebut orang membantu
Orang kaya pemurah, itulah bank masyarakat yang tidak rasmi
Hingga orang miskin terbela dan tidak menderita
Alangkah senangnya hati, apabila kita bersalah mudah dimaafkan
Tidak ada dendam kesumat, tidak ada hasad dengki
Bilalah akan berlaku setiap pemimpin, guru, ulama, mereka adalah contoh atau model orang ramai
Yang merupakan Al Quran dan Sunnah yang bergerak
Mudah ditiru tanpa banyak berteori dan membahaskan ilmu
Hingga orang ramai atau rakyat sentiasa terdidik
Alangkah bahagianya jiran dengan jiran tengok-menengok
Beri-memberi, bertolong bantu, hidup sebagai keluarga
Ziarah-menziarahi, jaga-menjaga terutama di waktu tiada

9.9.2001
Selepas Zuhur

Mari kita mengenal Tuhan

Mari kita mengenal Tuhan

Mari kita mengenal Tuhan
Tuhan kita ialah Allah,
Nama-Nya yang paling agung yang dikatakan Lafzul Jalalah
Dia adalah zat yang Maha Suci lagi Maha Tinggi
Suci daripada sebarang penyerupaan dengan makhluk-Nya di dalam semua hal
Kerana itulah Dia tidak dapat hendak dibayangkan,
Kalau dibayangkan satu pendustaan yang maha besar
Wujud-Nya sediakala, tidak ada permulaan, tidak ada kesudahan
Kerana Dia bukan jenis ciptaan, bahkan Pencipta seluruh alam
Menjadi Pentadbir, Pendidik dan Penyelamat
Takkan Pencipta dengan yang dicipta ada persamaannya
Zat-Nya Maha Esa, satu atau tunggal
Tapi Esa-Nya tidak boleh dibelah bagi
Yang boleh dibelah bagi itu adalah benda atau barang ciptaan,
atau sesuatu yang kena cipta atau diwujudkan
Maha Suci dan Maha Tinggi Tuhan daripada perlu kepada tempat,
tidak mengambil ruang
Tidak ada di dalam pihak, atau di luar pihak,
kerana di luar pihak juga adalah pihak
Tidak terlibat dengan masa
Tidak terlibat dengan malam dan siang
Tidak terlibat dengan musim yang empat
Kerana semuanya itu adalah makhluk dan ciptaan-Nya
Tuhan tidak berhajat kepada ciptaan-Nya
Tapi makhluk-Nya berhajat kepada Tuhan
Kudrat-Nya adalah mutlak dan tidak terbatas
Kerana kudrat-Nya bukan dari tenaga,
Ia dari zat-Nya yang Maha Kuasa dan Maha Daya dan Upaya
Iradah-Nya atau kehendak-Nya bukan daripada dorongan nafsu-Nya
Tuhan tidak ada nafsu seperti haiwan dan manusia
Setiap yang terjadi dan yang akan terjadi kemudian adalah dengan kehendak-Nya
Ciptaannya kecil dan besar sama sahaja,
Dia kata 'Jadi', jadilah benda itu
Dia mentadbir, mengawal dan menjaga bukan hasil berfikir-fikir dan meneliti
Kerana berfikir dan meneliti adalah dari akal
Dia memang sudah sedia tahu dan bijaksana
Tuhan tidak ada akal seperti malaikat dan manusia
Setiap yang dicipta-Nya tidak ada yang sia-sia
Sekalipun debu yang halus ada hikmahnya
Sama ada kita dapat fikirkan mahupun yang tersembunyi hikmahnya
Ilmu-Nya maha luas tidak terbatas dan tidak berkesudahan
Mengetahui yang ada dahulu, yang sedang ada mahupun yang akan ada,
Sekalipun yang tiada Tuhan tahu
Tidak ada sebesar habuk pun yang dilupakan
Hidup-Nya tidak ada berkesudahan, kerana Dia hidup bukan dengan nyawa
Dan tidak ada yang menamatkan kerana Dia adalah Tuhan, tiada Tuhan selain-Nya
Ertinya tiada siapa yang berkuasa ke atas zat-Nya yang hendak mematikan
Dia mendengar bukan dengan telinga,
Tapi daripada zat-Nya yang bersifat mendengar
Dia melihat tapi bukan dengan mata,
tapi daripada zat-Nya yang bersifat melihat
Sifat mendengar dan melihat-Nya Esa tidak berperingkat-peringkat
Jauh dan dekat sama sahaja
Tuhan bercakap atau mempunyai bahasa yang tersendiri
Yang tiada siapa yang mengetahui sekalipun para malaikat
Bahasa-Nya tiada yang dahulu dan tiada yang kemudian,
tiada berlafaz dan tiada berhuruf, tiada perkataan
Tiada bunyi dan suara, tiada koma dan full-stop
Tiada permulaan dan tiada berkesudahan
Tiada tanda tanya dan tiada tanda seruan
Al Quran adalah bahasa malaikat dan bahasa rasul
maksud dan mafhum daripada bahasa Tuhan
Jadi bahasa juga tidak ada penyerupaan
Maha Suci Tuhan
Dia menghukum dengan keadilan-Nya,
Memberi nikmat dengan rahmat-Nya
Kasih sayang kepada hamba-hamba-Nya mengatasi segala sifat-sifat-Nya yang lain
Nikmat dan rahmat-Nya terus mengalir tidak pernah berhenti-henti
sekalipun sedetik atau sekelip mata
Kerana itulah nikmat-Nya tidak mampu untuk dihitung
Nikmat nafas turun naik pun kita tidak dapat mengiranya
Betapalah nikmat-nikmat yang lain lagilah terlalu banyaknya
Dia adalah Pemberi rezeki, Pentadbir, Penjaga, Penyelamat, Pengawal,
Dan menentukan segala nasib makhluk-makhluk-Nya
Kalau satu detik pun kita terlepas daripada Tuhan pasti binasa.
Aduh siapa Tuhan?!
Dia adalah Maha Besar, Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Perkasa
Maha Gagah, Maha Hebat, Maha Pengasih
Kasih-Nya kepada hamba-hamba-Nya
lebih kasih daripada seorang ibu kepada anak-anaknya
Patut kita jatuh hati kepada-Nya
Bahkan cinta kepada-Nya
Patut kita membesarkan, memuja, mengagungkan,
menyanjung dan menyembah dan menakuti-Nya
Dia adalah idola daripada segala idola yang ada di dunia
Kita sangat perlu kepada Tuhan
Kerana itulah kita mesti memperjuangkannya
Hingga seluruh manusia mengenal-Nya dan mencintai-Nya dan menyembah-Nya.

18.7.2000
Selepas Asar - 2

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails